Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kedah Darul Aman (KDA) FC, Khamal Idris Ali mendedahkan virus Influenza yang menyerang ramai pemain sejak pulang dari Bali, Indonesia menjadi antara sebab kelab tersebut mempamerkan aksi tidak konsisten sejak akhir-akhir ini.

Follow VOCKET di Telegram untuk isu isu viral terkini

Selepas ceria berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Piala AFC Zon Asia Tenggara, KDA hanya mencatatkan satu kemenangan dan tiga kekalahan dalam kempen Liga Super 2022.

Skuad Kenari meraih kemenangan 3-1 bertemu Sarawak United manakala tewas ditangan Terengganu (1-2), Kuala Lumpur City (1-2) dan yang terakhir ketika berhadapan Sri Pahang dengan keputusan 0-2.

Malah, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak turut tersingkir daripada persaingan Piala FA selepas juara edisi 1996, 2007, 2008, 2017 dan 2019 itu tewas 0-1 kepada Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak di pusingan kedua.

Sehubungan dengan prestasi hambar ditampilkan, Khamal tampil bagi mendedahkan keadaan sebenar menerusi satu kenyataan rasmi di laman Facebook KDA FC bagi menjawab persoalan para penyokong mereka berhubung keadaan semasa pasukan.

“Melalui penilaian semasa, prestasi pasukan setakat ini adalah tangga ke-6 Liga Super, setakat pusingan kedua Piala FA dan layak ke separuh akhir Zon Asean Piala AFC, namun prestasi naik turun pasukan terkesan atas faktor berikut,”

“Transisi barisan pemain utama pasukan hampir 1/3, keseluruhan pemain import baru dan cabaran untuk memastikan keserasian pemain musim ini dalam tempoh yang singkat.”

“Kecederaan pemain import dan pemain tempatan utama pasukan memberi kesan dalam keseluruhan prestasi pasukan,”

“Faktor kesihatan pemain diserang virus influenza selepas pulang dari saingan Piala AFC di Bali, ramai pemain mengalami demam naik turun dalam tempoh yang panjang memberi kesan prestasi individu seterusnya menganggu persiapan pasukan di saat akhir.”

Skuad KDA kini berada di Bali. Kredit Foto: Kedah Darul Aman FC

“Dan, jadual padat dan kerap beraksi di gelanggang lawan musim ini, pertukaran senarai pemain yang terhad menyumbang kepada keputusan yang tidak konsisten.”

Dalam pada itu, pihak KDA FC turut mendedahkan bahawa prestasi hambar ditampilkan barisan pemain langsung tiada kaitan dengan isu tunggakan gaji seperti yang menjadi bualan di media sosial.

Sebelum ini, bekas pengendali yang membawa Kedah menjuarai ‘double treble’, Mohd Azraai Khor Bin Abdullah menyuarakan pendapatnya dengan mengatakan pengurusan KDA seolah-olah berahsia berikutan aksi turun naik dipamerkan.

Dalam perkembangan lain, kem KDA kini sudah kembali berada di Bali untuk menghadapi PSM Makassar bagi menghadapi aksi separuh akhir Piala FA Zon Asia Tenggara, malam esok.