Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Eintracht Frankfurt, Axel Hellmann mendedahkan bahawa pernah mendapat tawaran untuk membawa masuk bintang dunia, Cristiano Ronaldo ke dalam pasukan tersebut beberapa bulan lalu.

Selepas kegagalan Manchester United layak ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2022/23 dan hanya akan beraksi dalam Liga Europa, Ronaldo dikhabarkan mahu meninggalkan kelab tersebut.

Keadaan itu menyebabkan ejennya berusaha keras untuk mencari pasukan baharu tetapi semuanya menemui jalan buntu sekali gus menyaksikan beliau terus bersama Manchester United.

Selepas beberapa kelab seperti Chelsea dan Bayern Munich menolak tawaran untuk mendapatkan Ronaldo, ejennya turut mencuba nasib dengan menghubungi Eintracht Frankfurt.

Hal ini kerana Frankfurt merupakan salah sebuah pasukan yang beraksi dalam kempen UCL musim ini dan turut berjaya melayakkan diri ke pusingan 16 untuk berhadapan dengan SS Napoli.

“Dia [Cristiano Ronaldo] juga telah ditawarkan kepada kami. Ya, kami juga telah menerima tawaran untuk mendapatkan Ronaldo.”

“Saya merasakan bahawa dia turut menawarkan diri kepada semua pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah,” ujar Hellman menurut laporan dikeluarkan FotMob.

Memasuki musim 2022/23, Ronaldo lebih banyak memanaskan bangku simpanan dan kemudiannya pelbagai cerita negatif melibatkannya seperti tindakan meninggalkan stadium sebelum perlawanan persahabatan bertemu Rayo Vallecano tamat.

Beliau kemudiannya enggan bersalaman dengan ten Hag sebaik sahaja aksi liga menentang Brentford tamat dimana mereka tumpas 0-4 pada perlawanan tersebut.

Perkara tersebut kelihatannya diulangi sekali lagi oleh pemain berusia 37 tahun itu apabila beliau dilihat melangkah masuk ke bilik persalinan ketika perlawanan dengan Tottenham Hotspur ketika aksi masih berbaki beberapa minit sehingga menyebabkan beliau diketepikan daripada skuad menentang Chelsea.

Cristiano Ronaldo akhirnya sudah bergelar ejen bebas selepas beliau meninggalkan kelab gergasi Liga Perdana Inggeris itu dengan persetujuan bersama pada 23 November lalu.

Ronaldo kini dikaitkan dengan Al-Nassr tetapi ia seperti tidak mampu direalisasikan walaupun kelab Arab Saudi itu menawarkan gaji yang cukup lumayan kerana beliau lebih berminat untuk terus berada di Eropah.

 

Sumber