Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan senarai penuh nama sembilan individu yang telah dipilih sendiri oleh Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin bagi menganggotai Pasukan Petugas Khas Presiden atau Presidential Task Force (PTF).

PTF ini bertujuan memberi peluang kepada individu-individu yang bukan dari persatuan bola sepak negeri untuk menyumbang idea membantu Presiden FAM merencanakan hala tuju badan induk bola sepak negara.

Mereka yang dipilih terdiri daripada antaranya dalam kalangan peneraju korporat, syarikat berkaitan kerajaan, pengamal undang-undang, ahli akademik, penyokong bola sepak, media serta kerabat diraja.

Dalam mengumpul maklumat sebagai usaha mencanai idea-idea baharu yang bernas, PTF turut diberi hak untuk mengadakan sesi perbincangan dengan pemegang taruh industri bola sepak.

POSTER – Presidential Task Force

Antara nama besar yang turut dipilih menganggotai PTF ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Berjaya Corporation Berhad, Abdul Jalil Abdul Rasheed. Sebelum ini, beliau merupakan CEO termuda di Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Tahun lepas, beliau memberi pandangan mengenai 5 perkara sesebuah kelab bola sepak tempatan yang perlu pertimbangkan sebelum memasang impian menyenaraikannya di Bursa Malaysia. Baca artikel tersebut disini.

Selain Abdul Jalil, FAM turut melantik seorang kerabat diraja yang lebih dikenali sebagai Tengku Bib dan merupakan Tengku Indera Bijaya Diraja Selangor iaitu Tengku Salehuddin Shah AlHaj Tengku Sulaiman Shah AlHaj.

Berikut ialah tujuh lagi individu lain daripada pelbagai latar belakang yang dipilih menganggotai PTF tersebut:

1. Datuk Ruzain Idris

Seorang wakil agensi kerajaan yang kini menjawat tugas selaku Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia sejak Oktober 2020. Beliau sebelum ini merupakan bekas Pengarah Pembangunan Negeri Selangor, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.

2. Khairul Kamarudin 

Seorang ahli korporat yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank Muamalat Malaysia Berhad, sekali gus menjadi wakil bagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Beliau cukup berpengalaman dalam bidang perbankan dengan berkhidmat 13 tahun bersama Bank Islam sebelum menyertai Bank Muamalat pada 2019.

3. Dr. Mohd Bahrin Othman

Seorang ahli akademik dan pengamal undang-undang yang merupakan pensyarah kanan di Fakulti Undang-undang, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam sejak dari tahun 2000. Beliau pernah menjadi Timbalan Presiden UiTM FC dari 2010 hingga 2019 dan kini sebagai Ahli Lembaga Pengarah UiTM FC.

4. Muhammad Tarmizi Abdul Aziz 

Seorang wakil penyokong setia bola sepak negara yang mana beliau yang lebih dikenali sebagai Mizi merupakan antara penggerak utama Ultras Malaya. Berkerjaya dalam bidang oil & gas, beliau sedang melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana (Masters) dalam bidang pengurusan kejuruteraan.

5. Prof. Dr Sivamurugan Pandian

Seorang ahli akademik yang merupakan pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang dan Ahli Senat USM. Tahun lalu, beliau turut dilantik sebagai Panel Pemikir Kementerian Perpaduan Negara dan Ahli Majlis Penasihat Pertanian Negara, selain pernah dipilih menjadi Ikon Patriotik Hari Kebangsaan 2016 dan 2017.

6. Ooi Kin Fai

Seorang wakil media yang berpengalaman lapan tahun dalam bidang kewartawanan sukan dan merupakan Timbalan Pengarang di Goal Malaysia sejak 2016 hingga kini. Sebelum bergelar wartawan, lulusan Universiti Sains Malaysia (USM) ini pernah menjadi jurutera selama tujuh tahun sebelum beralih bidang pada 2013.

7. Dr. Wirdati Mohd Radzi

Seorang ahli akademik wanita dan pengamal undang-undang sukan yang merupakan pensyarah kanan di Pusat Sukan dan Sains Eksesais, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur. Beliau yang pernah menjadi Pesuruhjaya Sukan dari 2019 hingga 2020 kini merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Profesionalisasi Kelab MFL sejak Januari lalu.

Individu-individu yang telah dilantik ini akan memainkan peranan masing-masing dalam memberikan pendapat serta idea bernas demi membantu Presiden FAM bagi mendapatkan input daripada pihak yang luar dari kelompok biasa pemegang taruh bola sepak negara.

Penubuhan PTF melambangkan kesediaan FAM mengambil kira pendapat dari semua lapisan peminat, penyokong dan masyarakat ke arah memajukan lagi bola sepak.

Jumlah ahli yang menganggotai PTF boleh ditambah atau dikurangkan pada bila-bila masa mengikut kesesuaian dan budi bicara Presiden.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan.

Kurniawan: “Amri Ini Walaupun Berusia 40 Tahun, Dia Sangat Efisien Dan Efektif Menggunakan Tenaga.”

Shahrul Saad Akui Terima Tawaran Dari Sri Pahang

Shahrel Fikri Alami Kecederaan “Fibula Fracture“, Bakal Terlepas Aksi Kelayakan Piala Dunia