Istilah Carrilero adalah berasal dari bahasa Sepanyol, merujuk kepada sistem dimana dua pemain tengah yang berada dalam posisi berbeza dalam formasi di posisi tengah berbentuk segi empat berlian atau ‘diamond’.

Salah seorang pemain yang dimaksudkan adalah pemain tengah dengan peranan sebagai pemain tengah bertahan manakala seorang lagi di posisi tengah menyerang.

Kedua-dua pemain yang diberikan peranan ini diarahkan supaya menjadi pemain penyambung antara bertahan dan menyerang.

Pemain tengah dengan peranan ini seharusnya mampu bermain hampir seluruh kawasan tengah untuk menampung ruang-ruang yang diperlukan ketika pasukan cuba mengekalkan penguasaan bola.

Sudah semestinya stamina dan ketahanan badan diperlukan buat pemain dengan peranan Carrilero sebaik sahaja bermula wisel perlawanan sehingga tamat.

Dalam bentuk berlian di tengah padang, ada beberapa pemain bertaraf dunia yang boleh kita kaitkan dengan dengan peranan ini seperti N’Golo Kante, Blaise Matuidi, Fabinho, Idrissa Gueye dan Ander Herrera.

Manakala sekiranya dilihat kualiti pemain tengah di Malaysia, Brendan Gan merupakan antara pemain yang memainkan peranan besar sebagai seorang Carrilero.

Ada juga pemain yang mampu bermain di posisi bek sayap dan boleh digolongkan dalam kelas pemain tengah Carrilero seperti James Milner dan Fabian Delph.

Mereka merupakan ciri-ciri pemain tengah yang tidak kenal erti lelah pastinya menjadi harapan setiap jurulatih untuk mengawal tempo serangan dari pasukan lawan.

Seorang Carrilero yang mantap harus mempunyai kualiti baik dalam teknik merampas bola, bertahan dari kawasan sukar dikesan pemain lawan dan menjadi penghubung hantaran daripada pertahanan kepada pemain serangan.

Selain itu mereka juga menjadi pemain yang akan meleraikan tekanan dari barisan pemain tengah pihak lawan.

Carrilero juga boleh diibaratkan sebagai naik taraf daripada seorang pemain tengah bertahan yang memiliki kelebihan bergerak lebih banyak dalam kawasan tengah berbanding pemain tengah bertahan klasik dimana peranan tradisional ini hanya tertumpu pada lapisan hadapan kubu pertahanan terakhir pasukan.

Dalam masa yang sama, Carrilero juga diberikan kebebasan melakukan hantaran untuk membelah tekanan pemain tengah lawan.

Tugasan itu jelas sekali berbeza dengan peranan dimainkan pemain tengah bertahan klasik, dimana mereka akan menghantar bola kepada pemain kreatif yang hampir dengannya.

Teruskan membaca 3 artikel terpilih yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah ini.

Yee Fatt Optimis Shakir Hamzah Mampu Beri Sumbangan Berkesan

Ragini: Kelantan Mampu Lakar Kejutan Dalam Saingan Liga Premier

Pemerhati Bola Sepak Anggap Presiden MFL Penyelamat Liga Malaysia