Kejayaan pasukan Kedah memenangi Piala FA 2019 nyata mendapat perhatian kelab Eropah apabila pasukan yang bersaing dalam Liga Kejuaraan, Cardiff City mengucapkan tahniah kepada skuad Lang Merah di atas kejayaan tersebut.

Menerusi satu pengumuman di laman media sosial rasmi pasukan, Kedah menunjukkan surat yang ditulis oleh Ketua Pegawai Eksekutif Cardiff City, Ken Choo dimana Ken turut mengucapkan tahniah kepada penjaring gol kemenangan, Fazrul Danel Mohd Nizam.

Surat Cardiff City
Surat yang dihantar oleh Cardiff City.
Sumber Gambar: Kedah FA

Dalam surat tersebut, Ken menyatakan latihan Fazrul bersama Cardiff selama sebulan nyata berjaya meningkatkan mutu dan kualiti yang dimiliki oleh pemain berusia 21 tahun itu. Kelab yang musim lalu beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris itu turut teruja dengan peningkatan yang ditampilkan oleh Fazrul.

Pada bahagian akhir surat tersebut, Cardiff berharap kerjasama yang dibina sejak 2013 itu dapat dikekalkan pada masa akan datang bagi memastikan pemain terbaik dapat dihasilkan.

Kedah
Sumber Gambar: Kedah FA

Kedah berjaya merangkul Piala FA musim ini selepas menewaskan pasukan Perak di pentas akhir dengan keputusan 1-0. Fazrul Danel menjaringkan gol kemenangan seminit selepas beliau dimasukkan pada masa tambahan.

Kejayaan Kedah memenangi Piala FA bermakna mereka layak untuk beraksi di peringkat kelayakkan saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2020.