Persatuan Bola Sepak Cameroon (FECAFOOT) kini berdepan dengan risiko hukuman daripada FIFA atas campur tangan kerajaan dalam perlantikan ketua jurulatih pasukan kebangsaan yang baharu.

FECAFOOT yang diketuai presiden yang baru dilantik iaitu Samuel Eto’o, terpaksa menerima arahan daripada Presiden Cameroon, Paul Biya, berhubung pelantikan Rigobert Song sebagai jurulatih pasukan kebangsaan yang baharu menggantikan Toni Conceicao.

Ketika bergelar pemain, Song dikenali sebagai pertahanan tengah yang hebat. Beliau memperkuatkan beberapa kelab Eropah seperti FC Metz, Salernitana, Liverpool, West Ham United, FC Koln, Lens, Galatasaray, dan Trabzonspor.

Selepas bersara, Song menjadi jurulatih Bawah 23 tahun Cameroon. Kemudian, selepas Piala Negara-Negara Afrika 2021, jurulatih berusia 45 tahun itu dilantik menggantikan Conceicao.

Sebelum ini Song turut menjadi pemangku jurulatih skuad B-23 dan hampir menjadi ketua jurulatih Chad.

Jurulatih asal Portugal itu dipecat selepas pasukan Cameroon hanya mampu menduduki tempat ketiga dalam pertandingan yang dianjurkan di negara mereka.

Song akan dibantu oleh bekas jurulatih Congo, Kenya dan Equatorial Guinea, iaitu Sebastien Migne. Jurulatih asal Perancis itu kali terakhir menjadi jurulatih di kelab Afrika Selatan, Marumo Gallants. Dia telah membawa Kenya ke pusingan akhir Piala Negara-Negara Afrika 2019 di Mesir.

Paling menarik adalah, Song sebelum ini pernah terkena serangan strok minor. Namun dia berjaya bangkit dan kini menjadi jurulatih kebangsaan negaranya.

Dari segi kelayakan, kedua dua jurulatih tersebut dilihat benar benar layak. Cuma masalahnya, pelantikan bekas pemain yang membuat 137 penampilan untuk Cameroon itu bukan dibuat Eto’o sebagai Presiden FECAFOOT, tetapi secara langsung pemimpin negara.

“Atas arahan sangat tinggi Presiden Republik Cameroon, jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan lelaki, Antonio Conceicao, telah digantikan oleh Rigobert Song. FECAFOOT diminta untuk mengambil tindakan yang perlu bagi pelaksanaan yang segera dan harmoni ini, arahan ini sangat mustahak,” kata Menteri Sukan Cameroon, Narcisse Mouelle Kombi.

Pelantikan terus oleh Kerajaan Cameroon tanpa kelulusan FECAFOOT jelas bertentangan dengan statut FIFA. Ini kerana, pihak tertinggi bola sepak antarabangsa mewajibkan setiap ahlinya menjadi badan bebas dan mengelak sebarang bentuk campur tangan politik.

FIFA tidak mahu campur tangan kerajaan dalam bola sepak. Tetapi pelantikan jurulatih, terutamanya di seluruh Afrika, masih banyak mengamalkan budaya atas pengaruh politik. Tetapi FIFA sukar mengambil tindakan kerana presiden persatuan bola sepak mereka biasanya akan cuba sedaya upaya menutup kesalahan itu.

Ini kerana majoriti persatuan bola sepak di Afrika bergantung kepada kerajaan terutama sekali untuk membayar gaji jurulatih.

Selain itu, Conceicao adalah jurulatih Cameroon apabila Eto’o dipilih sebagai presiden FECAFOOT pada Disember 2021, kurang sebulan sebelum bermulanya Piala Negara-Negara Afrika.

Kredibiliti jurulatih Portugal itu dipersoalkan selepas tuan rumah tewas kepada Mesir menerusi sepakan penalti pada separuh akhir.

Dan, hanya tiga minggu kemudian, Conceicao kehilangan pekerjaannya dan digantikan oleh bekas rakan sepasukan Eto’o dalam pasukan kebangsaan iaitu Rigobert Song.