Cameroon mempamerkan semangat juang tinggi apabila bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat Serbia 3-3 pada aksi kedua kumpulan G Piala Dunia 2022 yang berlangsung di Al Janoub Stadium, Qatar sebentar tadi.

Turun tanpa penjaga gol utama, Andre Onana yang dihantar pulang ke tanah air atas alasan masalah disiplin menyaksikan Cameroon terpaksa membariskan Devis Epassy bagi mengisi kekosongan tersebut.

Perlawanan pada 18 minit awal menyaksikan Serbia giat mengatur serangan ke arah kubu Cameroon tetapi tiga percubaan daripada Aleksandar Mitrovic serta satu rembatan Filip Kostic gagal menemui sentuhan jaringan.

Seminit kemudian, Pierre Kunde memberikan ancaman ke kubu Serbia tetapi rembatannya dalam kawasan penalti dinafikan ketangkasan penjaga gol, Vanja Milinkovic-Savic.

Kem Cameroon melonjak kegembiraan pada minit ke-29 apabila Jean-Charles Castelletto yang tidak dikawal pertahanan lawan mudah menolak masuk bola susulan tandukan ke belakang dilakukan Nicolas N’Koulou ketika situasi sepakan penjuru.

Kelebihan itu kembali disamakan pada minit pertama masa kecederaan dimana sepakan percuma Dusan Tadic ditanduk masuk pemain pertahanan, Strahinja Pavlovic

Tidak cukup dengan jaringan tersebut, Sergej Milinkovic-Savic menambah gol kedua buat Serbia berselang dua minit kemudian hasil sepakan ‘placing’ menarik dari luar kawasan penalti.

Memasuki minit ke-53, skuad kendalian Dragan Stojkovic mengukuhkan kedudukan menerusi jaringan Mitrovic selepas menerima hantaran lintang Milinkovic-Savic.

Percaturan Rigobert Song membawa masuk Vincent Aboubakar bagi menggantikan Martin Hongla nyata membuahkan hasil apabila beliau menjadi tunjang kepada kebangkitan Cameroon.

Aboubakar yang menerima hantaran jauh Castelletto berjaya melepasi perangkap ofsaid dan kemudiannya melakukan percubaan lambung untuk menewaskan Milinkovic-Savic pada minit ke-63.

Jaringan itu pada mulanya dibatalkan kerana pembantu pengadil mendakwa Aboubakar berada dalam kedudukan ofsaid tetapi rujukan Video Assistant Referee (VAR) mengesahkan gol tersebut.

Berselang tiga minit kemudian, penyerang kelab Arab Saudi, Al Nassr itu sekali lagi memperdayakan pertahanan lawan dengan melepasi perangkap ofsaid dan melorongkan bola kepada Eric Maxim Choupo-Moting yang mudah menyempurnakan peluang terhidang bagi mengikat kembali kedudukan.

Serbia mendapat beberapa peluang terbaik untuk menambah jaringan. Namun, barisan pemain pertahanan dan Epassy kental bertahan untuk kedua-dua berkongsi satu mata.