Pasukan-pasukan menerima positif beberapa penambahbaikan yang akan dilakukan Malaysian Football League (MFL) menjelang musim 2022 terutama terhadap format terbaharu Piala Sumbangsih, Piala FA serta waktu sepak mula bagi perlawanan Liga Malaysia.

Antaranya pemain tengah Kuala Lumpur City FC, Zhafri Yahya, yang gembira pendekatan MFL menjadikan perlawanan Piala Sumbangsih sebagai aksi pembuka tirai tanpa melibatkan sebarang pungutan mata Liga Super, berbeza daripada musim lalu.

Situasi itu baginya adalah tepat kerana dia dan rakan sepasukan boleh memberikan fokus kepada memenangi Piala Sumbangsih tanpa menjejaskan rentak awal di Liga Super.

Selain itu, dia akui waktu perubahan perlawanan yang dijangka akan diawalkan dari jam 9.00 malam kepada 8.15 malam mulai musim depan merupakan satu cabaran baharu kepada pemain namun aspek itu sebagai sesuatu yang positif kepada penyokong.

“Bagi saya ini sesuatu yang bagus memandangkan kedua-dua pasukan turun buat kali pertama untuk musim baharu dan sudah pasti tiada sebarang tekanan apabila perlawanan ini tidak dikira untuk liga.

“Kedua-dua pasukan termasuk JDT (Johor Darul Ta’zim) sudah pasti akan cuba dapatkan momentum di awal musim namun saya harap kami boleh memenangi Piala Sumbangsih.

“Mengenai perubahan waktu perlawanan yang saya difahamkan iaitu 8.15 malam, saya rasa perkara itu pasti disukai penyokong kerana memudahkan mereka untuk pulang lebih awal sekiranya esok hari bekerja.

“Bagi pemain, kami sudah mula kena biasakan diri dengan menyusun atur rutin harian iaitu sebelum dan selepas perlawanan agar boleh sesuaikan diri dengan sepak mula pada 8.15 malam,” katanya kepada MFL.

Bagi ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, beliau menyambut baik langkah perubahan yang dibuat pada musim 2022 serta beri penghargaan kepada MFL kerana membantu pasukannya dari segi penjadualan.

Ujarnya, sikap kompromi MFL itu sekurang-kurangnya dapat membantu bebanan kos yang ditanggung membabitkan pasukan dari Borneo terutama pada aspek pengangkutan.

“Saya positif dengan cadangan menjadikan format Piala FA hanya berkonsepkan satu perlawanan sahaja sehingga ke perlawanan akhir kerana turut mengambil kira kepentingan persiapan pasukan kebangsaan sepanjang tahun ini.

“Sekurang-kurangnya kita bersyukur Piala FA ini boleh dijalankan selepas dua musim tidak berlangsung ekoran pandemik COVID-19.

“Selain itu, saya berpuas hati melihat jadual yang telah dikeluarkan oleh MFL kerana sedikit sebanyak membantu Sabah mengurangkan kos pengangkutan apabila kami diberi ruang bermain di tempat lawan secara berurutan dalam dua ke tiga perlawanan.

“Jelas MFL memahami tanggungan yang sentiasa dialami pasukan dari Sabah dan Sarawak dan saya mahu ucapkan terima kasih kepada mereka,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

Liga Belum Pun Bermula, Melaka United Kini Berdepan Masalah Tunggakan Gaji

Penyerang Berbisa Dari Serie A Bakal Sertai JDT?

Kedah Rancang Bina Pusat Latihan Sendiri Lengkap Dengan Hub Prestasi Sukan Dan Perubatan

Abang Kandung Anthony Martial Sah Sarung Jersi Sri Pahang

Scott O’Donell Bakal Diumumkan Sebagai Pengarah Teknikal Baharu FAM?