Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe menegaskan pasukan bimbingannya perlu bersedia kerana cabaran yang bakal dihadapi pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 lebih getir berbanding pusingan pertama.

Meskipun berjaya membenam pasukan Timor Leste dengan jaringan yang besar pada perlawanan ply-off pusingan pertama, namun Cheng Hoe percaya masih ada ruang untuk diperbaiki dan pemain perlu bekerja lebih keras jika mereka mahu menyaingi pasukan terbaik di rantau Asia.

Malaysia
Sumber Gambar: FAM

“Kita akan jumpa pasukan lebih kuat dan jauh lebih baik daripada kita pada pusingan kedua. Saya mahukan semua pemain bersedia dari sekarang kerana peringkat seterusnya bukan mudah.

“Kemungkinan besar kita akan diundi bersama negara seperti Iran, Jepun dan Qatar. Pemain kena sedia terima tekanan dan cabaran yang lebih tinggi dan kuat sekiranya berhadapan negara-negara itu,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Skuad Harimau Malaya mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua peringkat kelayakan selepas menewaskan pasukan Timor Leste 12-2 secara agregat dalam satu perlawanan timbal balik.

Pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019, pasukan negara menduduki tempat keempat di belakang juara Arab Saudi, UAE dan Palestin dalam Kumpulan A.

Dengan prestasi semasa yang ditunjukkan oleh anak-anak buah Tan Cheng Hoe, ramai pihak optimis dengan peluang Malaysia untuk sekurang-kurangnya layak ke temasya Piala Asia 2023 yang akan berlangsung di China.

Baca Juga: Shahrel Fikri Buktikan Kemampuan Pimpin Barisan Serangan