Kelab tersohor dalam liga bola sepak Thailand, Buriram United melalui artikel yang dikeluarkan oleh laman web rasmi mereka menyatakan bahawa kelab tersebut telah berjaya menjual sebanyak 181,150 helai jersi home dan away sejak dilancarkan pada 1 Disember 2018.

Seperti yang pernah kami laporkan dalam artikel sebelum ini –Buriram United Jana RM3.52 Juta Hasil Jualan Jersi Pada Hari Pertama Pelancaran, mereka berjaya menjual sebanyak 40,196 helai jersi pada hari pertama pelancaran.

Dalam satu acara bersempena meraikan sambutan tahun baru 2019 yang diadakan di Chang Arena pada 30 dan 31 Disember 2018, Buriram United dilaporkan telah berjaya menarik seramai 150,000 orang dan dari jumlah itu, Buriram United telah berjaya menjual sebanyak 81,510 helai jersi dalam masa 2 hari – berjumlah RM7.235 juta.

Buriram United

Berdasarkan kemaskini dari laman web rasmi mereka, harga jualan bagi sehelai jersi musim 2019 adalah THB690, dan jika mengikut harga ini bermakna Buriram United telah berjaya menjana THB125,241,900 atau RM16.13 juta hanya dari jualan jersi dalam tempoh 31 hari sahaja!

Toyota Thai League 1 akan membuka tirai saingan musim baru pada 22 Februari 2019 nanti, manakala M150 Thai League 2 atau Thai League 2 akan bermula pada 9 Februari 2019.

Buriram United

Ketika liga bola sepak di Malaysia dipalit pelbagai isu dan kontroversi, di Thailand sudah ada kelab yang mampu menjana pendapatan yang sama dengan kos bagi menguruskan sebuah pasukan di Liga Super, dan Buriram United hanya memerlukan 31 hari sahaja untuk melakukannya.