Minggu lepas, peminat bola sepak tempatan dikejutkan dengan tindakan beberapa pemain Kelab Bola Sepak Sabah (Sabah FC) memboikot sesi latihan kerana tidak berpuas hati dengan pihak pengurusan yang lewat membayar gaji mereka.

Perkembangan itu didedahkan oleh penyokong Sabah yang kebetulan berada di stadium tersebut untuk menyaksikan sesi latihan sehingga menjadi tular di media sosial.

Bagaimanapun, Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Bung Moktar Radin memberi amaran kepada para pemainnya agar tidak lagi menonjolkan sikap negatif sehingga mencalarkan imej pasukan itu.

“Kita kena hentikan gosip ini, cukup, cukuplah.. Ini amaran terakhir saya.

“Jangan main-main dengan saya. Saya tidak bermain politik apabila saya mahu rombak SAFA dan Sabah FC. Saya sudah mengorbankan banyak duit, masa dan pengetahuan. Namun, tiada siapa yang tahu,” katanya dipetik dalam Berita Harian. 

172748440_2946734332240347_563399319693443310_n
FOTO: Sabah FC

Pengurusan Sabah FC dalam satu kenyataan menafikan mereka mempunyai tunggakan gaji lebih sebulan namun mengakui mempunyai beberapa kelewatan dalam urusan pembayaran gaji.

“Pihak pengurusan tidak pernah mengabaikan masalah yang dihadapi pemain sama ada di luar atau dalam padang sehingga menjejaskan prestasi Sabah FC.

“Kita mengesahkan di sini komunikasi diantara pengurusan serta pemain sangat baik. Pihak pengurusan yakin selepas ini semuannya akan berjalan dengan lancar sekaligus mengelak daripada masalah ini berulang di masa depan,” tulis kenyataan itu.

Sabah bakal menentang UiTM FC di Stadium Likas pada hari Sabtu ini dalam misi untuk mengutip 3 mata penuh selepas terikat 1-1 dengan Penang FC minggu lepas.

Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan mahu pemain sentiasa menampilkan aksi terbaik dan bersatu-padu demi pasukan. Beliau berharap tiada lagi sikap mementingkan diri sehingga menjejaskan prestasi mereka dalam saingan Liga Malaysia.

“Matlamat kita bukan untuk menang semata-mata tetapi persembahan terbaik supaya penyokong berpuas hati. Jangan lagi ulangi sikap yang menjejaskan pasukan, sebaliknya Sabah FC perlu terus maju dan menjadi pasukan yang kuat. Perkara yang tidak sewajarnya jangan lagi ditimbulkan. Jangan belum main lagi, pasukan sudah kalah,” katanya.

Baca artikel mengenai isu Sabah FC yang dilaporkan sebelum ini. 

3 Bulan Tidak Dibayar Gaji, Pemain Sabah Boikot Sesi Latihan

Sabah Nafi Ada Masalah Tunggakan Gaji Selama Tiga Bulan

Realiti Bola Sepak Malaysia Daripada Situasi Perak Dan Sabah, Mana ECP?