MFL akhirnya mengesahkan bahawa Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai gelanggang perlawanan akhir bagi Piala FA yang akan menemukan Terengganu vs JDT

Follow VOCKET di Telegram untuk isu isu viral terkini

Antara elemen yang dipertimbangkan adalah akses kepada pengangkutan awam dan juga perlindungan penyokong juga antara faktor penting dalam pemilihan venue ini. Selain itu MFL juga mengambil kira kempen JDT di ACL pada musim ini.

Bukan itu sahaja terdapat perubahan pada jadual perlawanan Liga Super dan Liga Premier.

Berikut kenyataan rasmi MFL:

STADIUM NASIONAL BUKIT JALIL DIPILIH SEBAGAI VENUE PERLAWANAN PIALA FA 2022

Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan bahawa Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) telah dipilih sebagai venue perlawanan akhir Piala FA 2022 di antara Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 10 September ini jam 9.00 malam.

Ini susulan permohonan MFL untuk menggunakan SNBJ mendapat kelulusan daripada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) hari ini selepas MFL serta pihak pengurusan TFC dan JDT telah membuat pemeriksaan teliti mengenai keadaan padang stadium itu bagi final edisi ke-32 Piala FA.

Sebelum ini, PSM mengumumkan penutupan SNBJ bagi sebarang aktiviti bola sepak bagi kerja-kerja penyelenggaraan termasuk baik pulih padang dan MFL amat berterima kasih atas kerjasama pihak PSM yang meluluskan permohonan untuk SNBJ digunakan sebagai gelanggang final Piala FA tahun ini.

Dalam membuat pemilihan venue ini, MFL telah melalui proses yang panjang untuk menilai kemungkinan beberapa pilihan venue untuk penganjuran Perlawanan Akhir Piala FA 2022.

Bukan hanya faktor padang dijadikan keutamaan tetapi juga elemen-elemen yang amat penting seperti kemudahan dan perlindungan untuk penyokong kedua-dua pasukan, akses kepada perkhidmatan awam, ruang yang luas di sekeliling stadium yang akan membolehkan operasi keselamatan untuk puluhan ribu peminat yang akan berada di stadium, sokongan dan bantuan pihak berkuasa tempatan juga diambil kira.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam, pemilihan venue itu turut memberi penekanan daripada segi pengelolaan perlawanan, penyiaran, komersial dan juga kapasiti stadium yang akan membolehkan setiap finalis menjana pendapatan sebanyak mungkin daripada penganjuran perlawanan akhir ini.

“Pihak MFL sudah mengadakan perbincangan dengan wakil PSM sebelum ini untuk memeriksa serta mendapat maklumat terkini mengenai keadaan padang SNBJ dan kami dimaklumkan bahawa SNBJ bersedia untuk menjadi venue perlawanan akhir Piala FA kali ini.

“Antara elemen yang menjadi perhatian MFL adalah keadaan padang SNBJ dan kami mendapat jaminan daripada PSM bahawa mereka komited dan akan memastikan penjagaan padang di tahap terbaik menjelang aksi kemuncak itu nanti.

“Buat masa ini, SNBJ satu-satunya stadium yang mampu memuatkan 80,000 penyokong dalam satu-satu masa dan berada dalam keadaan yang selamat untuk digunakan. Ini amat penting kerana kita tahu permintaan penyokong kedua-dua pasukan amat tinggi untuk menyaksikan final di stadium.

“Selain itu, MFL juga telah menjemput wakil kedua-dua pasukan untuk memeriksa keadaan padang pada 12 Ogos lalu bersama dengan pihak pengurusan PSM bagi mendapatkan pandangan serta jaminan daripada PSM sendiri mengenai penyediaan padang SNBJ untuk perlawanan akhir nanti. Hasil pertemuan itu, semua pihak bersetuju untuk bekerjasama dalam memastikan keadaan padang di tahap terbaik.

“MFL juga tidak boleh berkompromi dalam aspek keselesaan dan keselamatan dan kita sedia maklum bahawa SNBJ memiliki fasiliti terbaik di dalam dan di luar termasuk akses pengangkutan awam ke venue ini.” katanya.

Dalam pada itu CEO PSM, Faidz Sanusi jelas menyambut baik keputusan MFL itu yang memilih SNBJ yang turut dikenali sebagai ‘Home of Harimau Malaya’ sebagai venue perlawanan akhir Piala FA buat kali ke-12 sejak kali pertama penganjuran pada 1990.

“Ini berita yang amat baik bukan sahaja kepada PSM selaku tuan rumah malah buat semua penyokong JDT dan Terengganu FC yang akan hadir untuk merasai bahang final Piala FA di SNBJ. Bagi pihak PSM kami amat mengalu-alukan kerjasama dengan MFL bagi penganjuran perlawanan akhir ini yang secara tidak langsung mengukuhkan lagi jenama SNBJ sebagai hub sukan terbaik negara.

“Dalam memastikan kelancaran penganjuran final Piala FA itu, sudah pasti pihak PSM akan mengambil langkah-langkah tertentu dalam memastikan fasiliti-fasiliti di stadium di tahap terbaik termasuk juga keadaan padang. Sejak penganjuran pusingan kelayakan Piala Asia Jun lalu, padang SNBJ sudah tidak digunakan untuk sebarang aktiviti bola sepak dan dalam masa ke semasa kita akan menjalankan kerja-kerja penjagaan padang menjelang perlawanan akhir itu nanti,” katanya.

Sementara itu MFL juga telah menetapkan 10 September 2022 sebagai tarikh perlawanan akhir Piala FA 2022.

Mengikut perancangan awal, MFL ingin mengadakan aksi final itu pada 27 Ogos 2022 namun dengan mengambil kira penglibatan JDT di pertandingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022 bertemu kelab Jepun, Urawa Reds bagi pusingan 16 pasukan terbaik pada 19 Ogos 2022 maka perubahan tarikh terpaksa dilakukan.

Jika kelab Harimau Selatan itu berjaya mengatasi Urawa Reds, mereka akan beraksi di suku akhir pada 22 Ogos 2022 manakala separuh akhir pada 25 Ogos 2022 justeru MFL menetapkan tarikh final Piala FA pada 10 September 2022 bagi memastikan semua perancangan dan persediaan yang diperlukan untuk kedua-dua pasukan yang mengambil bahagian di dalam perlawanan akhir tersebut dan juga semua organisasi dan agensi berkaitan yang terlibat dalam pengelolaan perlawanan akhir Piala FA lebih jelas dengan tarikh yang diputuskan.

Dengan itu, MFL telah membincangkan pilihan yang ada, kekangan yang dihadapi dan ketidakpastian perancangan itu dan juga mendapat pandangan kedua-dua pasukan mengenai keperluan penyediaan pasukan maka TFC dan JDT bersetuju untuk perlawanaan akhir Piala FA dimainkan pada 10 September 2022.

Berikutan tarikh perlawanan akhir Piala FA 2022 ditetapkan pada 10 September 2022, maka MFL terpaksa mengemaskini semula jadual Liga Super dan Liga Premier musim ini.

Dua perlawanan LS18 yang asalnya dijadual berlangsung pada 10 September 2022 melibatkan Melaka United FC mln Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Sri Pahang FC mln Kuala Lumpur (KL) City FC akan diawalkan sehari.

Satu lagi aksi LS18 di antara Sabah FC mln Selangor FC kekal pada 10 September 2022 namun waktu perlawanan dari jam 7.30 malam diawalkan ke jam 7.00 malam bagi memberi laluan kepada perlawanan akhir Piala FA 2022 yang akan bermula jam 9.00 malam.

Dua lagi aksi LS18 di antara Terengganu FC dan Penang FC pada 9 September 2022 bakal dipinda pada 14 September 2022 manakala pertemuan PJ City FC dengan JDT pada 11 September 2022 pula ditetapkan pada 15 September 2022.

Sementara perlawanan tertangguh LS9 melibatkan TFC mln Melaka United pada 2 September 2022 dipinda pada 3 September 2022 manakala aksi tertangguh LS17 antara JDT menentang Melaka United pada 7 September 2022 terpaksa diawalkan pada 29 Ogos 2022.

Turut diluluskan oleh MFL adalah permohonan KDA FC bagi pindaan perlawanan tertangguh LS16, KDA FC dengan Penang FC pada 1 September 2022 kepada 2 September 2022.

Kepada peminat yang mungkin telah menempah tiket penerbangan mereka untuk mana-mana perlawanan ini, sila hubungi wakil kelab anda dengan resit pembelian penerbangan anda untuk MFL memastikan penyelesaian diusahakan untuk anda seperti yang dilakukan dengan peminat-peminat beberapa kelab pada perlawanan yang ditangguhkan sebelum ini.

Dalam pada itu perubahan tarikh final Piala FA 2022 turut menjejaskan jadual perlawanan terakhir Liga Premier, LP18 di mana semua perlawanan yang dijadual berlangsung pada 11 September 2022 akan ditukar pada 17 September 2022.

Mengenai penjualan tiket final Piala FA 2022, MFL akan mengadakan perbincangan bersama pihak pengurusan TFC dan JDT terlebih dahulu sebelum hebahan dilakukan dalam waktu terdekat ini.

Siapakah yang akan menjulang Piala FA 2022? JDT atau Terengganu?