Pemain tengah Arsenal, Bukayo Saka melaungkan keyakinan bahawa kelab London tersebut mampu untuk menjulang beberapa trofi kejuaraan pada musim 2021/22.

Pemain berusia 20 tahun itu berpendapat sedemikian selepas melihat keberkesanan rekrut yang dilakukan oleh Mikel Arteta dan lebih manis apabila Arsenal berjaya menundukkan seteru utama, Tottenham Hotspur pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), minggu lalu.

Rekrut baharu seperti Aaron Ramsdale, Ben White, Takehiro Tomiyasu serta pemain yang dibawa masuk secara tetap selepas dipinjamkan pada musim lalu, Martin Odegaard telah membuktikan kemampuan hebat mereka.

Selepas tunduk pada tiga perlawanan awal saingan liga, Arsenal dilihat sudah kembali ke prestasi baik apabila berjaya menundukkan Norwich City, Burnley dan Tottenham untuk kini menduduki tangga ke-10.

Sehubungan dengan perkembangan positif yang dicatatkan, Saka merasakan dengan kualiti yang dimiliki mampu untuk merintis kepada kejayaan buat Arsenal pada musim ini.

“Kami boleh mencapai segalanya, tidak peduli berapa pun usia [para pemain Arsenal]. Dengan bertambahnya usia akan datangnya pengalaman tetapi kami mempunyai ramai pemain berpengalaman dalam skuad ini yang membantu kami.”

“Kami memiliki banyak kualiti dan cukup berpengalaman untuk mengecapi banyak kejayaan. Kami akan menghadapi perlawanan demi perlawanan, tetapi sekiranya kami bermain seperti ini [bertemu Tottenham], kami memiliki kualiti yang cukup untuk memenangi trofi.”

“Saya tidak dapat menggambarkan bagaimana rasanya pada ketika ini. Dimulai dengan suasana di stadium, ia amat gila,” ujar Saka menurut laporan dikeluarkan Goal.

“Para penyokong memberikan kami begitu banyak tenaga dan bagi kami untuk membalasnya adalah dengan mencatatkan kemenangan seperti ini di stadium, ia sangat memberikan erti buat kami.”

“Kami semua menginginkannya [kemenangan]. Kami tahu betapa berertinya perlawanan ini kepada para penyokong. Kami juga tahu betapa berertinya perlawanan ini bagi kami sendiri.”

“Dan, sudah tentu sahaja untuk meneruskan momentum kemenangan, kami telah memenangi tiga perlawanan berturut-turut. Ia sangat bagus buat kami.”

“Sekiranya kami dapat bermain seperti ini pada setiap masa, kami mempunyai peluang yang kuat untuk melakukan yang terbaik pada musim ini dan memenangi beberap trofi,” tambah Bukayo Saka lagi.

 

Sumber