Penjaga gol berpengalaman luas, Gianluigi Buffon mengakui bahawa beliau dapat mempelajari sesuatu daripada wira skuad kebangsaan Itali dalam saingan Euro 2020, Gianluigi Donnarumma.

Seperti yang diketahui, penjaga gol berusia 22 tahun itu bertindak cemerlang ketika penentuan sepakan penalti sewaktu menentang Sepanyol dan England bagi membolehkan Itali menjuarai Euro buat kali kedua.

Aksi cemerlang itu juga sekali gus membolehkan penjaga gol yang baharu sahaja menyertai kelab gergasi Perancis, Paris Saint-Germain itu dipilih sebagai Pemain Terbaik Kejohanan.

Sehubungan dengan itu, Buffon tanpa berselindung menegaskan Donnarumma telah mengajarnya sesuatu yang baharu dalam menangani beberapa keadaan ketika beraksi.

“Dia memang seorang pemain yang luar biasa, bukan hanya ketika situasi menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi tetapi juga bagaimana cara dia menangani semua situasi yang sukar.”

“Dia lebih baik daripada penjaga gol yang lain, hari ini dia merupakan model ikutan di seluruh dunia,” ujar Buffon menurut laporan Football Italia.

“Saya tidak peduli sama ada kerjaya akan bertahan seperti saya. Saya tahu dia adalah penjaga gol yang hebat dan saya hanya menikmati kehebatannya.”

“Saya belajar dari Donnarumma, saya telah mempelajari beberapa perkara yang dilakukannya. Saya saya sangat tenang, saya tidak peduli jika ada penjaga gol yang lain lebih baik dari saya,” tambah Buffon lagi.

Dalam perkembangan lain, Buffon yang bakal menyarung jersi Parma selepas meninggalkan kelab tersebut kira-kira 20 tahun lalu mengimpikan untuk kembali mewakili skuad kebangsaan Itali dalam saingan Piala Dunia 2022.

Baca artikel lain mengenai Buffon dan Donnarumma:

RASMI: Parma Umum Kepulangan ‘Superman’ Buffon Selepas 20 Tahun Berpisah

Casillas Nasihatkan Donnarumma Pindah Ke Kelab Yang Lebih Betradisi Dan Kuat Di Eropah

Warkah Perpisahan Donnarumma: “AC Milan Selamanya Di Hatiku”