Berumur 14 tahun nyata bukan satu halangan kepada seorang pelajar tingkatan 2 Sekolah Hidaka Chugakko, di prefektur Wakayama untuk diiktiraf sebagai pemegang lesen pengadil tahap 3 dalam hierarki bola sepak Jepun.

Dikenali dengan nama Jun Nakanishi, beliau telah lulus ujian tahap 3 pada bulan Febuari 2019 yang lalu selepas mengadili satu perlawanan dibawah anjuran Persatuan Bola Sepak Wakayama.

F34371CF-3260-45C0-9481-77D5322227D7

Ini merupakan kali pertama seorang pelajar tingkatan 2 di wilayah itu yang berjaya melepasi ujian dan diiktiraf sebagai salah seorang dari belasan ribu pengadil tahap 3 yang aktif diseluruh Jepun.

“Apabila dewasa saya mahu terus terlibat dengan bola sepak dan memilih jalan sebagai pengadil. Impian saya adalah untuk berada dipentas Piala Dunia satu hari nanti.”

Nakanishi terlibat dengan dunia bola sepak sejak dari umur sekitar 5 tahun telah mewakili pasukan FC Blast di bandar Hidaka dan ketika berusia 12 tahun beliau merupakan salah seorang pemain yang menjuarai kejohanan Hidaka Shimpo Cup.

44735F0F-25CF-4A9B-96FA-348D394B81C3
Nakanishi merupakan salah seorang yang berada dalam gambar ini ketika JFA Referee Caravan diadakan di prefektur Wakayama musim panas 2018.

Menganjak keusia 13 tahun, beliau mula terlibat dengan sukan olahraga dan dalam masa yang sama menjadi pembantu jurulatih kepada pasukan lamanya FC Blast, membimbing pemain-pemain yang masih berada disekolah rendah.

Ketua jurulatih FC Blast, Toshikazu Takeya menjelaskan bahawa beliau telah memberikan nasihat kepada Nakanishi untuk ‘skill-up’ kemahiran dengan menyertai kursus kepengadilan tahap 4 ketika berada di tingkatan 1.

072F7EC1-A493-4081-B9AA-70FE486E813B

Apabila masuk ke tingkatan 2, melalui bantuan seorang instruktor pengadil di Wakayama, Nakanishi mula menyertai kursus yang dikendali Yasuyuki Kitamura.

Selain itu, Nakanishi juga menyertai satu kem kepengadilan yang dianjurkan oleh Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) yang dikenali sebagai “Referee Caravan in Wakayama” seterusnya menduduki ujian bertulis serta kecergasan sebelum mengadili perlawanan sebenar untuk diiktiraf lulus lesen tahap 3.

Dengan memiliki lencana pengadil tahap 3 itu, Nakanishi secara rasmi boleh mengadili perlawanan bola sepak sekolah rendah dan sekolah menengah rendah seluruh Jepun.

Apakah Sistem “Referee Caravan” Ini?

Projek “Referee Caravan” ini ditubuhkan sekitar 18 tahun yang lalu pada 2001 sebagai “Special Referee System” dan sekarang dikenali sebagai “Professional Referee Sistem”.

Tujuan asal sistem ini adalah sebagai sebuah pusat kecemerlangan pengadil untuk Jepun seterusnya ke tahap dunia yang dikendalikan oleh JFA sendiri.

C1FFEBE0-6709-44BA-913D-C580A8E17F55

Persatuan-persatuan bola sepak diperingkat lebih rendah pula diberi peranan untuk membangunkan pengadil-pengadil muda untuk bekalan kepada peringkat lebih tinggi bola sepak Jepun.

Pendek kata “Referee Caravan” ini adalah “Grassroot System” bagi pengadil di Jepun sebenarnya.

Dalam artikel kami yang lepas, sehingga 1 April 2019 JFA memiliki seramai 274,544 orang pengadil berdaftar dalam semua hierarki pengadil dan jumlah ini tidak termasuk pengadil futsal dan juga wanita.

Jepun terutamanya pihak JFA dan JLeague bukan sahaja menitik beratkan pembangunan pemain bola sepak tetapi turut melakukan perkara yang sama dari semua aspek termasuk pengadil dan juga pengurusan supaya semua pihak dapat membawa bola sepak mereka ke tahap dunia seperti yang kita saksikan hari ini.

Mungkin mereka bukan yang terbaik dan sempurna didunia tetapi di Asia mereka tidak diragui berada dipuncak!

Sumber