Pemain tengah, Bruno Fernandes mengakui siapa yang menjaringkan gol bukanlah perkara yang penting sebaliknya keutamaan baginya adalah untuk melihat Portugal layak ke pusingan 16 Piala Dunia 2022.

Pertemuan menentang Uruguay awal pagi tadi telah menimbulkan sedikit kekeliruan apabila hantaran jauh dilakukannya cuba ditanduk Cristiano Ronaldo dan bola berjaya membolosi gawang lawan tersebut pada minit ke-54.

Ronaldo pada mulanya dilihat bakal bergelar penjaring tetapi jelas bola tidak terkena kepala beliau lalu menyaksikan Fernandes diumumkan sebagai pencetak gol tersebut.

Fernandes kemudiannya menambah gol kedua peribadi pada masa kecederaan menerusi sepakan penalti untuk menghadiahkan kemenangan 2-0 sekali gus Portugal layak ke pusingan kalah mati.

“Tidak kira siapa yang menjaringkan gol. Sama ada saya atau Cristiano Ronaldo. Perkara yang penting adalah kami keluar daripada kumpulan ini. Kami berada di pusingan 16,” ujar Bruno Fernandes menurut sumber Goal.

Portugal menjadi pasukan ketiga [Perancis dan Brazil] yang mara ke pusingan 16 selepas hanya dua perlawanan peringkat kumpulan apabila berjaya menundukkan Ghana 3-2 dan Uruguay.

Tiga lagi pasukan dalam kumpulan H iaitu Ghana, Uruguay dan Korea Selatan masih berpeluang untuk mencuri satu lagi slot daripada kumpulan tersebut.

Perlawanan terakhir bakal menyaksikan pertembungan antara Portugal dan Korea Selatan manakala Ghana akan bertemu Uruguay.

Portugal perlu menamatkan saingan kumpulan di kedudukan teratas kerana menanti mereka di pusingan 16 adalah pasukan dari kumpulan G dimana Brazil dijangka tidak akan berdepan masalah untuk berada di tangga teratas.

 

 

Sumber