Bintang Manchester United, Bruno Fernandes yakin bahawa The Red Devils mampu untuk menjulang piala pada musim ini selepas kelab tersebut ketandusan kejuaraan sejak kali terakhir memenanginya pada musim 2016/17.

United hampir menamatkan penantian tersebut pada musim lalu tetapi skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu tunduk 10-11 menerusi penentuan sepakan penalti ditangan Villareal pada perlawanan akhir Liga Europa yang berlangsung di Poland.

Dengan kehadiran pemain lincah, Jadon Sancho serta Raphael Varane yang sudah pun menghampiri Old Trafford, Manchester United kelihatan cukup serius untuk kembali menghadirkan keceriaan buat para penyokong mereka.

Sehubungan dengan itu, Fernandes yang meledakkan 28 gol dan mencipta 17 bantuan jaringan dalam semua pertandingan musim 2020/21 merasakan United mampu untuk menjadi pencabar kejuaraan pada musim ini.

“Saya rasa, seperti biasa, kami berpeluang untuk memenangi apa sahaja yang kami mahukan atau apa sahaja yang kami cuba menang,” ujar Fernandes menurut laporan Goal.

“Musim lalu, nasib nyata tidak menyebelahi kami, kami tidak berjaya memenangi sebarang trofi. Kami layak ke perlawanan akhir Liga Europa tetapi sayangnya kami masih tidak mampu untuk menang.”

“Masih lagi, dengan mahupun tidak melibatkan perpindahan masuk pemain, Manchester United sentiasa merupakan lawan yang sukar buat sesiapa sahaja yang mahu mencuba untuk memenangi setiap pertandingan yang turut disertai kami.”

“Seperti yang selalu saya katakan, bagi saya berada di tahap ini dan di kelab yang ingin sentiasa menang, adalah kerana itu. Kerana saya tahu kami mempunyai peluang untuk memenangi segalanya,” tambah Bruno Fernandes lagi.

Selain daripada beraksi di perlawanan akhir Liga Europa musim lalu, Manchester United menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris di kedudukan kedua serta layak ke separuh akhir Piala Carabao dan suku akhir Piala FA.

Baca artikel lain mengenai Fernandes:

Ini Sebab Scholes Anggap Bruno Fernandes Tak Layak Menang Pemain Terbaik PFA Musim Ini

EPL: Bruno Fernandes Yakin Manchester United Mampu Juara Musim Ini

‘Apa Akan Jadi Kalau United Tanpa Bruno Fernandes?’

Sumber