Pemain tengah skuad Harimau Malaya, Brendan Gan percaya pasukan negara mampu mengekang segala asakan yang diberikan oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada perlawanan kedua peringkat kumpulan G kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Meskipun pasukan lawan menjadi pilihan dan mempunyai perancang yang berkaliber seperti Omar Abdulrahman, namun pemain tengah Perak itu percaya pasukan negara juga mempunyai pemain yang berkualiti untuk mengekang asakan yang diberikan oleh UAE.

Brendan Gan
Brendan Gan. Sumber Gambar: FAM

“Sudah pasti dia (Omar) pemain yang hebat berdasarkan apa yang dia sudah tunjukkan. Kami menghormatinya, tapi pada masa yang sama, ini adalah bola sepak, kami beraksi untuk menang, bukan untuk kalah atau seri.

“Jurulatih juga ada maklumkan mengenai beberapa pemain penting mereka. Apa pun ia terpulang kepada bagaimana kami beraksi dan apa yang kami boleh persembahkan.Jika kami mengikut segala taktikal dan mengawal disiplin serta berusaha keras, saya fikir kami boleh memberi tentangan sengit,” katanya pada sidang media semalam.

Brendan Gan Malaysia
Brendan Gan dan Tan Cheng Hoe

Ketua jurulatih UAE, Bert van Marwijk dijangka bakal menurunkan Omar bagi membantu jentera serangan sekaligus merobek benteng pertahanan skuad Harimau Malaya kerana pemain itu sebelum ini pernah berhadapan dengan pasukan negara.

Brendan Gan bakal menggalas tugas bagi mengawal Omar dan beliau menggesa rakan-rakan sepasukan untuk memulakan perlawanan dengan rentak positif dan mengelak kesilapan ketika berdepan Indonesia minggu lalu berulang.

“Kami tidak bermula dengan baik pada pertemuan dengan Indonesia, mungkin atas faktor lain termasuk atmosfera di stadium atau sebagainya.

“Jadi kami perlu bermula dengan baik berdepan UAE. Bagi perlawanan ini (menentang UAE), kami ada tugas lain yang perlu dilakukan dan ia sangat penting,” tambahnya.

Anda boleh membaca artikel lain mengenai pasukan UAE dan Malaysia di sini:

Bert van Marwijk Yakin Miliki Barisan Pemain Berkualiti

Ramalan Susunan Kesebelasan Utama Skuad Malaysia Dan UAE

Omar Abdulrahman: Saya Cergas Dan Bersedia Untuk Diturunkan Dalam Perlawanan Malam Ini