Selepas seminggu kem latihan pusat skuad Malaysia bawah 19 tahun (B-19) berlangsung, pengendali pasukan itu, Brad Maloney mengakui terdapat beberapa pemain berjaya menambat hatinya dengan kualiti yang ada pada mereka.

Beliau mendedahkan dalam New Straits Times, salah seorang daripada muka baharu yang telah menarik minatnya ialah bekas pemain akademi Leicester City, Zachry Raiff  Ghazie Yeoh yang kini beraksi dengan PJ City FC.

Beliau menyifatkan kehadiran pemain itu mampu memperkuatkan jentera tengah skuad Malaysia B-19 bagi menghadapi Kejohanan AFC B-19 di Uzbekistan pada bulan Oktober ini.

“Dalam kalangan muka baharu yang hadir, terdapat dua atau tiga pemain yang berjaya memikat barisan kejurulatihan.

“Saya tertarik dengan pemain seperti Adam Nadzmi dan Zachry serta dua lagi pemain baharu,” katanya.

Seramai 35 pemain telah dipanggil menjalani latihan pusat kali ini, 14 pemain daripadanya merupakan anggota skuad 23 pemain ketika saingan kelayakan di Phnom Penh, tahun lalu.

Maloney turut menegaskan kehadiran muka baharu ini bagus untuk mewujudkan suasana sengit dalam kalangan pemain bagi merebut tempat dalam skuad akhir ke kejohanan AFC B-19.

“Tiada keistimewaan diberikan kepada pemain dalam pasukan ini. Setiap orang perlu berjuang untuk mendapat tempat mereka.

“Sebagai contoh, Wan Kuzri Wan Kamal ialah seorang pemain yang mempunyai kualiti kerana beraksi dalam pasukan senior di Amerika Syarikat, tetapi seperti yang pernah saya katakan, dia perlu bersaing untuk mendapatkan tempatnya dengan pemain lain,” katanya dalam sesi latihan semalam.

107477252_3023566314406779_7266426821629502873_o
FOTO: FAM

Sementara itu, Zachry tekad membuktikan kemampuannya bagi membantu Malaysia mencapai sasaran beraksi di Piala Dunia B-20 pada tahun depan.

Beliau juga turut menegaskan status sebagai pemain kacukan bukan tiket automatik untuk mewakili negara kerana semua orang perlu bekerja keras mendapatkan tempat.

“Bagi saya, kenyataan mengatakan bahawa pemain berdarah kacukan mempunyai peluang cerah mewakili  pasukan kebangsaan adalah tidak betul kerana jurulatih tidak bersikap pilih kasih kerana beliau melihat  prestasi kesemua pemain.

“Persaingan agak sengit, tapi saya akan bekerja keras untuk dapatkan tempat dalam skuad utama selepas gagal dalam percubaan pertama pada tahun lepas,” katanya dalam Bernama.

Baca artikel terkini mengenai perkembangan skuad Malaysia B-19 melalui pautan di bawah.

Kerajaan Uzbekistan Lanjutkan Tempoh ‘Lockdown’, Kejohanan AFC B-19 Berisiko Ditunda

Luqman Dijangka Sertai Kem Latihan Pusat Skuad Malaysia B-19 Pada Bulan September

34 Pemain Lapor Diri Di Kem Latihan Pusat Skuad Malaysia B-19, Wan Kuzri Dikuarantin Selepas Tiba Dari Amerika