Ketua jurulatih skuad bawah 23 (B-23) negara, Brad Maloney tanpa berselindung mengakui kecewa melihat skuad kendaliannya tumpas 0-3 ditangan Thailand pada aksi kedua Piala Asia B-23 2022 di Milliy Stadion, semalam.

Kekalahan kedua berturut-turut itu menyaksikan skuad muda negara tersingkir daripada persaingan ke suku akhir sekali gus ‘hujan’ kritikan daripada peminat bola sepak tanah air menanti pengendali dari Australia tersebut.

Pada aksi malam tadi, skuad muda negara ketinggalan 0-1 pada babak pertama dan usaha untuk bangkit pada 45 minit seterusnya tidak membuahkan hasil malah Thailand lebih garang dengan menambah dua lagi jaringan.

“Kami bermula dengan baik pada 20 minit awal dimana kami mengawal permainan, kami kelihatan amat baik pada ketika itu,” ujar Maloney bercakap dalam sidang media selepas perlawanan.

Kredit Foto: FAM

“Kemudiannya, dibolosi pada minit ke-23 yang memaksa kami untuk mengejar dan ia nyata membawa padah.”

“Ia merupakan keadaan yang cukup mengecewakan bagi kami. Tetapi walau apa pun kami perlu memberikan kredit buat Thailand dengan apa yang mereka telah lakukan [beraksi dengan baik].”

Berikutan prestasi yang boleh dikatakan hambar selepas dua perlawanan dilalui, Maloney turut menyerahkan sepenuhnya kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung masa depannya bersama skuad muda negara.

Sementara itu itu ketua pasukan negara, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi juga mengakui faktor kelekaan para pemain menjadi penyebab utama kekalahan bertemu Thailand.

“Saya rasa pemain dan bagi yang terbaik dan saya rasa kami perlu memperbaiki lagi banyak perkara. Kita kena fokus kerana kita leka dalam permainan, itu merupakan kesilapan diri sendiri.”

“Kita perlu memandang ke hadapan untuk fokus pada perlawanan seterusnya. Saya harap pemain dapat bangkit semula pada perlawanan bertemu Vietnam nanti.”

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad B-23 negara di Uzbekistan melalui pautan dibawah.

Piala Asia B-23: Thailand Tutup Rapat ‘Pintu Harapan’ Skuad Negara

Mukhairi Ajmal: Lupakan Kekalahan, Fokus Aksi Berdepan Thailand

Piala Asia B-23: Jurulatih Korea Selatan Akui Malaysia Lawan Yang Sukar