Federasi Bola Sepak Australia (FFA) hari ini mengumumkan mereka telah melantik bekas jurulatih Malaysia B-23, Brad Maloney sebagai Ketua Jurulatih skuad Australia bawah 17 tahun (B-17) atau dikenali sebagai ‘The Joeys’.

Maloney kembali semula ke negaranya setelah berkhidmat selama 8 tahun bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sejak 2014 dimana beliau memulakan tugas sebagai pembantu Datuk Ong Kim Swee dalam skuad Malaysia B-23.

Menurut kenyataan rasmi FFA, antara tugasan pertama yang sedang menanti Maloney ialah Kelayakan Piala Asia B-17 pada bulan Oktober nanti dan beliau wajib membawa pasukannya layak ke Piala Dunia B-17 2023.

“Sebagai produk bola sepak elit Australia, sentiasa menjadi matlamat saya untuk melatih pasukan kebangsaan Australia, jadi saya gembira kerana dilantik sebagai Ketua Jurulatih Joeys.

“Saya tidak sabar untuk membawa pengalaman saya kepada peranan pembangunan penting ini dan bekerjasama rapat dengan kelab, kami mengenal pasti pemain bola sepak terbaik yang muncul untuk program pasukan kebangsaan bawah 17 tahun, yang diharapkan akan terus menjadi Olyroos pada masa hadapan dan Socceroos.

“Berdasarkan barisan pemain yang dipilih untuk kem tahun ini dan skuad semasa yang bertanding di Kejohanan Remaja AFF U16, terdapat banyak bakat berkemahiran tinggi dan menarik datang melalui laluan kami, dan saya tidak sabar untuk memulakan peranan dan meneruskan persiapan untuk kelayakan Piala Asia B-17 Oktober nanti,” kata Maloney.

FFA turut mengumumkan Maloney juga diberi tugas sebagai pembantu jurulatih skuad Australia B-20 untuk memastikan pasukan itu membangunkan lebih ramai pemain muda berkualiti untuk diserapkan dalam skuad Socceroos.

Sepanjang dibawah bimbingan Maloney, skuad B-23 negara kalah pada semua perlawanan peringkat kumpulan di kejohanan Piala Asia B-23 di Uzbekistan, bulan lalu.

Sebelum itu, skuad muda itu gagal menampilkan aksi cemerlang pulang dari Sukan Sea Hanoi tanpa sebarang pingat.

Kejayaan tertinggi Maloney adalah membawa skuad kebangsaan mara ke perlawanan akhir Piala AFF B-19 2019, namun tewas 1-0 kepada Australia.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad Malaysia B-23 melalui pautan dibawah.

Kim Dong-jin Bakal Jurulatih Baharu Skuad Malaysia B-23?

Christophe Gamel Sedia Isi Jawatan Ketua Jurulatih Skuad B-23 Malaysia