Ketua jurulatih skuad B-23 tahun negara, Brad Maloney memberi masa sebanyak tiga hari kepada pemain tengah, Wan Kuzri Wan Kamal untuk menyertai kem latihan pusat sebagai persiapan menjelang saingan AFF B-23 yang bakal berlangsung pada 14 hingga 26 Februari ini.

Perkara ini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Fina Nasrom dimana Wan Kuzri yang ketika ini masih berada di Amerika Syarikat menyatakan minat beliau untuk beraksi bersama skuad B-23.

Wan Kuzri dikhabarkan sedang menyelesaikan masalah peribadi dan Maloney memberikan masa selama tiga hari untuk pemain itu menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Sekiranya gagal, maka berkemungkinan besar adik kepada Wan Kuzain itu akan terlepas peluang untuk beraksi bersama skuad B-23 tahun negara.

Brad Maloney turut berkata sekiranya Wan Kuzri berjaya menyelesaikan masalah yang dihadapi dan menyertai kem latihan pusat, pemain berusia 19 tahun itu tidak akan mendapat layan istimewa dan beliau perlu bersaing dengan pemain sedia ada bagi merebut tempat dalam pasukan.

“Semua orang memiliki peluang yang sama. Seperti yang saya katakan pintu kami sentiasa terbuka, jadi masih terdapat ramai pemain yang layak menyertai pasukan ini dan kami sentiasa berfikiran terbuka mengenainya,” katanya.

Skuad B-23 tahun negara dijadual berlepas ke Phnom Penh pada 12 Februari 2022 bagi menghadapi tiga perlawanan Kumpulan B menentang Myanmar (15 Februari) di Stadium Prince, Laos pada 18 Februari di Stadium Prince.

Manakala aksi terakhir peringkat kumpulan adalah pertemuan menentang Indonesia pada 21 Februari di Stadium Nasional Morodok Techo.

Seterusnya juara Kumpulan A, B dan C serta satu pasukan naib juara kumpulan terbaik akan mara ke separuh akhir pada 24 Februari 2022 manakala Final dijadual berlangsung pada 26 Februari 2022. Saingan kalah mati ini berlangsung di Stadium Nasional Morodok Techo.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

Masih Di AS, Wan Kuzri Tetap Berminat Perkuatkan Skuad B-23

Nidzam Jamil Hormati Kontrak Bersama Selangor, Lepaskan Peluang Sertai Skuad Kebangsaan

Selangor Terima Suntikan Penajaan RM3.5 Juta Daripada TDC Holdings