Pengendali skuad B-18 tahun negara, Brad Maloney berasa bangga dengan pencapaian yang diraih oleh skuad B-18 tahun negara dalam kejohanan Piala AFF Bawah 18 Tahun edisi kali ini.

Meskipun tewas kepada Australia di pentas akhir, namun bekas penolong kepada Datuk Ong Kim Swee itu memuji semangat juang yang ditunjukkan oleh anak-anak buahnya kerana mereka mampu mara sehingga ke perlawanan akhir.

Brad Maloney
Brad Maloney
Sumber Gambar: Kosmo

Brad berkata: Saya sangat gembira dengan persembahan yang ditampilkan oleh pemain (secara keseluruhan).

“Mereka telah berjaya sehingga ke peringkat final. Ia adalah usaha hebat daripada seluruh pasukan,” katanya menurut laporan Utusan.

Jaringan tunggal Lachlan Ricky Brook pada perlawanan yang dilangsungkan di Stadium Thong Nhat, Ho Chi Minh, Vietnam sudah cukup untuk memberikan kejuaraan kelima buat Australia sekaligus membalas dendam ke atas kekalahan 3-0 kepada pasukan negara yang dialami oleh Socceroos ketika perlawanan peringkat kumpulan.

Meskipun pemain negara menampilkan peningkatan di separuh masa kedua, namun nasib jelas tidak menyebelahi Malaysia bagi mempertahankan kejuaraan yang dimenangi di Indonesia pada tahun lalu.

Kini, fokus skuad B-18 tahun negara akan terarah kepada saingan peringkat kelayakan saingan AFC B-19 tahun yang akan berlangsung pada bulan November ini.

Pada saingan AFC B-19 edisi 2018 yang berlangsung di Indonesia, Malaysia menamatkan saingan di peringkat kumpulan setelah mengutip satu mata daripada tiga perlawanan.