Kesempurnaan itu memang tiada dalam bola sepak. Namun apabila mencari yang hampir sempurna, maka box to box midfielder adalah yang paling hampir.

Apa itu box to box midfielder ataupun pemain tengah kotak ke kotak. Kotak atau box merujuk kepada zon dalam padang. Sama ada kotak serangan, kotak penalti dan sebagainya.

Apabila seseorang itu digelar pemain box to box maka mereka adalah pemain yang bermain di kesemua bahagian di atas padang. Peranan ini biasanya dikaitkan dengan baka pemain Inggeris. Malah selalu disebut English Box To Box ataupun pemain kotak ke kotak gaya Inggeris.

Ini kerana ciri ciri bola sepak gaya Inggeris itu menuntut seorang pemain tengah untuk menjadi penjelajah ke seluruh padang.

Di Argentina peranan ini digelar carilleros ‘shuttlers’ dalam bahasa Inggeris. Istilah yang kerap digunakan oleh pundits The Guardian, Jonathan Wilson.

Dalam bahasa Melayu, shuttlers mungkin paling hampir ditafsirkan sebagai ‘pemain yang berulang-alik’. Ini kerana pemain ini selalu lari berulang-alik dari kotak penalti sendiri ke kotak penalti pasukan lawan.

Ciri ciri asas

Pemain box to box adalah pemain yang rajin. Mereka sentiasa bekerja di atas padang. Boleh dikatakan, di mana ada bola, di situ ada mereka. Oleh itu, mereka biasanya akan menjadi pemain yang paling tinggi jelajahan (distance coverage) di atas padang, ataupun dalam senarai teratas untuk aspek ini.

Seterusnya pemain box to box biasanya memiliki keupayaan untuk menjadi perancang di tengah. Ini kerana mereka tahu serba serbi fasa bertahan dan menyerang.

Dari segi posisi, mereka adalah pemain tengah, dan hanya pemain tengah sahaja yang layak digelar box to box.

Ketika menyerang

Ketika menyerang mereka akan naik sampai ke dalam kotak penalti. Dan pemain box to box ini biasanya boleh menghadirkan ancaman gol secara terus – dengan kemampuan menjaringkan gol dari dalam ataupun dari luar kotak penalti.

Pada hari ini kita ada nama nama seperti Paul Pogba yang menepati ciri ciri ini, selain daripada Radja Nainggolan dan Jordan Henderson.

Cristiano.Ronaldo.Paul_.Pogba_

Satu ketika dahulu adanya nama seperti Paul Scholes, Steven Gerrard, Lee Bowyer, Frank Lampard dan juga Michael Ballack.

Di negara kita, ada nama nama seperti Safiq Rahim, Brendan Gan dan Nazmi Faiz misalnya.

Jadi impak mereka apabila semakin tinggi ke atas, semakin bahaya mereka kepada gol.

Ketika bertahan

Ketika bertahan pemain box to box persis seorang pemain pertahanan sebenar. Mereka lasak dan sangat berdisiplin untuk bertahan. Cepat turun ke bawah dan sebagainya.

Mungkin pemain seperti Scholes selalu dilarang oleh Alex Ferguson melakukan bentesan kerana dia selalunya teruk melakukan bentesan dan terus kad merah. Namun dari segi komitmen turun naik, Scholes sangat bagus.

Pemain seperti Gerrard misalnya, memiliki keupayaan membentes dan melakukan sliding tackle yang sangat baik.

Jika menyerang, mereka mampu sampai ke depan penjaga gol lawan, ketika bertahan mereka juga bola berada di hadapan penjaga gol mereka sendiri.

Transisi

Sebagai seorang shuttler, keupayaan mereka pada fasa transisi bergantung kepada semangat dan kekentalan mereka.

Biasanya mereka memiliki stamina yang tinggi dan lasak. Jadi, kecerdasan taktikal mereka sangat baik. Dalam sekelip mata mereka akan bertindak sama ada dari bertahan ke menyerang ataupun sebaliknya.

Konflik peranan Gerrard dan Lampard

Sebenarnya, ramai pengurus lebih memilih untuk meletakkan hanya seorang pemain box to box dalam satu satu masa. Kerana idea untuk meletakkan dua pemain box to box pada masa yang sama akan membuatkan banyak konflik.

Paling popular adalah, kenapa Gerrard dan Lampard tidak boleh bermain bersama dengan baik di England? Malah gandingan Scholes-Gerrard-Lampard lebih kepada indah di atas kertas, secara praktiknya tiga pemain ini gagal membentuk gandingan di peringkat kebangsaan.

0_ENGLANDS-OWEN-CELEBRATES-HIS-GOAL-AGAINST-PORTUGAL-IN-THEIR-EURO-2004-MATCH-IN-LISBON

Kerana ketika menyerang kedua dua pemain akan cenderung untuk menyerang bersama sama, dan membuatkan pasukan terlalu ofensif. Kelemahan ini biasa akan dimanfaatkan lawan yang bagus dalam serangan balas.

Di Manchester United, Sir Alex Ferguson ada dua pemain yang box to box iaitu Roy Keane dan Paul Scholes. Namun kedua duanya elok bermain bersama kenapa?

Ini kerana Keane lebih berdisiplin untuk kekal lebih defensif. Keane tidak akan memainkan peranan box to box apabila Scholes ada atas padang.

Berbeza dengan Lampard dan Gerrard yang memiliki keinginan sangat tinggi untuk menyerang.

Jadi mungkin kerana pengurus England masa tu terlalu memberikan kebebasan kepada kedua dua pemain untuk bermain dengan cara mereka di kelab telah membawa padah.

Rumusan

Oleh itu, peranan box to box seringkali digelar sebagai pemain total di atas padang. Mereka adalah pejuang luar biasa yang sentiasa cuba terlibat aktif dalam mana mana pertarungan atas padang.

Pemain box to box satu ketika dahulu menjadi pemain yang sangat mahal dan diingini mana mana pengurus. Namun Jonathan Wilson mengakui baka ini kian pupus dek kerana pendekatan gaya moden.

Bermula daripada sistem total football yang lebih menekankan aspek pemain berskil tinggi dan pelbagai fungsi di tengah. Barcelona era Pep Guardiola menggunakan Xavi dan Iniesta yang lincah dan sangat bagus dengan bola. Mereka di hadapan Busquets yang lebih statik sebagai pemain tengah defensif.

Tetapi sebenarnya, saya percaya, mana mana pasukan yang masih percaya dengan sistem 4-4-2, mereka sangat memerlukan pemain box to box.