Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) semalam mengumumkan mereka bakal mengadakan perlawanan persahabatan kelab antarabangsa menentang kelab Bundesliga, Borussia Dortmund di Stadium Sultan Ibrahim pada 28 November.

Bagaimanapun, butiran lanjut mengenai perlawanan tersebut akan menyusul kemudian.

Pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ) berkata kehadiran kelab gergasi Jerman ke Johor Bharu merupakan satu penghormatan dan pihaknya sangat berbangga dapat menerima kunjungan Borussia Dortmund.

“Kami berbangga untuk mengalu-alukan kehadiran Borussia Dortmund untuk perlawanan persahabatan kelab antarabangsa bertemu Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim di Stadium Sultan Ibrahim yang ikonik sebagai sebahagian dari Jelajah Asia BVB 2022.

“JDT dan gergasi Jerman ini sudah mempunyai kerjasama yang baik sejak kolaborasi Akademi dan perlawanan persahabatan yang diadakan di Stadium Larkin pada tahun 2015. Ianya adalah satu kebanggaan untuk menerima kunjungan pasukan bereputasi seperti Borussia Dortmund sekali lagi dan kali ini di rumah baharu kami,” jelas TMJ.

Dortmund merupakan juara Bundesliga sebanyak 8 kali dan beberapa bintang pasukan itu mungkin tidak ikut serta kerana terlibat dalam Piala Dunia 2022 di Qatar.

Selain aksi persahabatan, mereka juga terlibat dalam aktiviti bertemu peminat setia pasukan itu.

Ini bukan kali pertama JDT bertemu kelab dari Bundesliga itu kerana sebelum ini mereka pernah berentap di Stadium Larkin pada tahun 2015. Ketika itu, JDT yang dibimbing oleh Mario Gomez dibelasah 6-1 dan gol sagu hati Harimau Selatan dijaringkan oleh Garry Steven Robbat.

Sementara itu wakil kelab Jerman itu berkata:

“Kami begitu teruja dan gembira dapat kembali semula ke Johor Bahru untuk bertemu rakan lama kami dari Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim, di mana kali terakhir kami bertemu adalah pada tahun 2015. Pasukan kami tidak sabar untuk bermain di Stadium Sultan Ibrahim yang serba canggih dan untuk bertemu dengan peminat dan penyokong kami di Malaysia sekali lagi.” — Mr Benedikt Scholz, Pengarah Hubungan Antarabangsa dan Komersil.

“Kami sangat menghargai jalinan kerjasama dengan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim dan DYAM Tunku Mahkota Johor dan atas sebab itu kami berbesar hati kerana dapat melangsungkan perlawanan ini sebagai sebahagian daripada JELAJAH ASIA BVB 2022. Kami di BVB teruja untuk mengulangi kembali perlawanan yang pernah berlangsung pada 2015 dan menjangkakan sebuah pengalaman yang tidak boleh dilupakan.” menurut Dr Suresh Letchmanan, Pengarah Urusan Borussia Dortmund Asia Pasifik.