Borussia Dortmund bakal membawa salah seoranh pemain bintang mereka iaitu Marco Reus bagi menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 28 November ini.

Perkara ini dikongsikan oleh Asean Football di laman media sosial Twitter dimana selain Marco Reus, Dortmund turut membawa beberapa pemain bintang yang lain seperti Mats Hummels, Emre Can dan Donyell Malen.

Pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ) berkata kehadiran kelab gergasi Jerman ke Johor Bharu merupakan satu penghormatan dan pihaknya sangat berbangga dapat menerima kunjungan Borussia Dortmund.

“Kami berbangga untuk mengalu-alukan kehadiran Borussia Dortmund untuk perlawanan persahabatan kelab antarabangsa bertemu Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim di Stadium Sultan Ibrahim yang ikonik sebagai sebahagian dari Jelajah Asia BVB 2022.

“JDT dan gergasi Jerman ini sudah mempunyai kerjasama yang baik sejak kolaborasi Akademi dan perlawanan persahabatan yang diadakan di Stadium Larkin pada tahun 2015. Ianya adalah satu kebanggaan untuk menerima kunjungan pasukan bereputasi seperti Borussia Dortmund sekali lagi dan kali ini di rumah baharu kami,” jelas TMJ.

Benedikt Scholz, Pengarah Hubungan Antarabangsa dan Komersil kelab menegaskan pihaknya begitu teruja dan gembira dapat kembali semula ke Johor Bahru untuk bertemu rakan lama.

“Pasukan kami tidak sabar untuk bermain di Stadium Sultan Ibrahim yang serba canggih dan untuk bertemu dengan peminat dan penyokong kami di Malaysia sekali lagi,” katanya.

Pada 2015, JDT yang dibimbing oleh Mario Gomez ketika itu pernah bertemu Dortmund namun mereka tewas dengan keputusan 6-1 dan gol sagu hati Harimau Selatan dijaringkan oleh Garry Steven Robbat.

Dortmund terlebih dahulu akan turun menentang Lion City Sailors pada 24 November di Stadium Jalan Besar dan kemudiannya kelab itu akan bertandang ke Johor.

Jelajah Asia BVB 2022 diakhiri dengan perlawanan menentang skuad kebangsaan Vietnam pada 30 November.

Indonesia pada mulanya berada dalam senarai jelajah Asia kelab itu namun perkara tersebut terpaksa dibatalkan ekoran isu keselamatan selepas tragedi kekecohan yang berlaku di Stadium Kanjuruhan yang menewaskan ratusan peminat.