Media tempatan kelmarin membuat pendedahan yang mengejutkan mengenai 13 daripada 21 stadium utama di seluruh negara didapati berbahaya dan berisiko berlakunya kejadian yang tidak diingini apabila tidak mempunyai sijil pematuhan kod (CCC) atau dikenali sebagai sijil layak menduduki (CF).

Menurut laporan daripada Arena Metro, antara stadium yang terlibat ialah gelanggang rasmi pasukan Pahang dan Kedah iaitu Stadium Darul Makmur serta Stadium Darul Aman. Turut tidak mempunyai sijil layak menduduki ialah Stadium Majlis Perbandaran Selayang dan gelanggang rasmi skuad Terengganu FC, Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Stadium lain yang dikenalpasti tidak selamat ialah Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Stadium Tunku Abdul Rahman, Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Stadium Sultan Muhammad IV, Stadium Tuanku Syed Putra, Stadium Bandaraya, Stadium Likas, Stadium Negeri, Sarawak dan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Bagaimanapun, lapan stadium ini disahkan mempunyai sijil CCC iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil, Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Stadium Hang Jebat, Stadium Tun Abdul Razak, Stadium Ipoh, Stadium Shah Alam dan Stadium UiTM Shah Alam.

stadium3
Stadium Nasional Bukit Jalil yang juga merupakan gelanggang rasmi skuad Harimau Malaya mempunyai sijil layak menduduki. FOTO: Astro Awani

Ketua Seksyen Perakuan Keselamatan Bangunan Bahagian Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Zamri Che Din, menjelaskan ketiadaan sijil terbabit di stadium berkenaan disebabkan oleh binaannya menjangkau usia lebih 20 tahun, serta tiada ciri keselamatan yang dipatuhi.

“Dari sudut keselamatan, premis seperti mana stadium disyaratkan supaya keselamatan ia ada, termasuklah menentukan premis berkenaan sentiasa boleh diguna pakai merangkumi keselamatan pengunjung dan pengurusan bangunan tu sendiri.

“Setakat ini, memang tiada permohonan dibuat daripada pihak bertanggungjawab terhadap bangunan terbabit untuk JBPM melakukan pemeriksaan seterusnya mengeluarkan borang G9 iaitu mengesahkan sudah mengikut segala perkara yang ditetapkan kami.

“JBPM tidak mengeluarkan CCC kepada bangunan terbabit, namun sokongan atau pemeriksaan daripada kami penting untuk menyokong pengeluaran sijil itu kepada pemiliknya,” katanya dalam Arena Metro.

Arena of shame
Tragedi bumbung runtuh yang melanda Stadium Sultan Mizan, Kuala Terengganu pada tahun 2009. FOTO: BERNAMA

Beliau turut menegaskan penting untuk pihak pengurusan memastikan mereka mempunyai sijil tersebut kerana Stadium merupakan tempat yang selalu dikunjungi oleh ribuan orang terutamanya jika berlangsung perlawanan bola sepak.

“Penting bagi memastikan bangunan yang biasa dihadiri orang ramai diiktiraf selamat dan mempunyai langkah keselamatan optimum.

“Mengikut prosedur, JBPM akan memproses permohonan yang diterima menerusi pelan lengkap disediakan dan akan mengambil masa kira-kira 14 hari sebelum diluluskan.

“JBPM turut melihat dari sudut aktif dan pasif iaitu membabitkan komponen atau pemasangan keselamatan kebakaran yang aktif. Pasif pula adalah melihat kepada ciri-ciri laluan keselamatan seperti pintu, kaki lima iaitu merujuk kepada Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984 dan ada Pindaan 2012,” katanya.

Baca artikel mengenai bagaimana kelab dari luar negara memajukan stadium mereka untuk dijadikan sebagai sumber pendapatan sampingan. 

Shimizu S Pulse Guna Strategi ‘Sewa Jersi’ Untuk Tarik Minat Penyokong Baharu Ke Stadium

‘Naming Rights’ Stadium Baharu Kelab Divisyen 2 Jepun Ini Bernilai RM76.52 Juta

Bayern Munich Tawarkan Suite Mewah Dalam Stadium Untuk Tonton Perlawanan

Sumber