Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin menegaskan industri bola sepak negara di Asia yang terkesan dengan impak pandemik COVID-19 untuk pulih dalam jangka masa setahun atau dua secara berperingkat.

Katanya, jangkaan itu bersandarkan kepada senario terkini bahawa rantaian COVID-19 ini belum putus sepenuhnya.

“Industri bola sepak khususnya Asia akan berdepan beberapa cabaran utama yang tidak pernah kita fikirkan sebelum ini terutama dalam menjamin keselamatan dan kesihatan 47 negara Asia demi kelangsungan sukan ini.

“Apapun anjakan kehidupan kearah normal baharu sememangnya perlu kita lalui, mahu atau tidak demi keselamatan serta kesihatan semua juga kelangsungan industri bola sepak dalam menempuh cabaran yang tidak pernah kita fikirkan sebelum ini,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) secara maya, hari ini, yang kali terakhir diadakan di Hong Kong pada Disember lalu.

Datuk Haji Hamidin yang juga merupakan ahli jawatankuasa eksekutif Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi penggal 2019-2023 berkata mesyuarat berkenaan penting dalam mencapai kata sepakat dalam hala tuju bola sepak Asia dan persiapan menjelang Piala Asia 2023 yang tertangguh sebelum ini akibat COVID-19 dan dijangka bermula semula Oktober ini.

Mesyuarat alam maya itu dipengerusikan oleh Presiden AFC, Shaikh Salman bin Ibrahim Al Khalifa itu turut membincangkan mengenai pentadbiran, kewangan dan perundangan AFC.

Bola Sepak
Sumber Gambar: FAM

“Susulan pandemik COVID-19, AFC memberi sokongan penuh kepada ahli gabungan terutamanya negara-negara yang terjejas teruk dari sudut kewangan menerusi kempen tanggungjawab sosial yang mampu menaikkan semangat negara yang terkesan terutama masyarakat.

“Situasi ini adalah sesuatu di luar jangkaan yang mana semua pihak perlu memikul tanggungjawab bersama serta paling penting muafakat dan saling menyokong antara satu sama lain dalam membendung krisis ini bersama,” tambah Datuk Haji Hamidin.

Dalam pada itu, Kongress AFC Ke-30 turut ditunda kepada tarikh baharu pada 9 Disember 2020 dan akan diadakan secara maya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia di sini:

Jaringan ‘Chips’ Piya Dipilih Antara 5 Gol Terbaik AFC Cup

Sardar Azmoun Menangi Kasut Emas Russian Premier League

Ceres Negros Kini Dikenali Sebagai United City FC, Proses Pindah Milik Berjalan Dengan Lancar