Indonesia tetap mempunyai wakil di Piala Dunia 2022 Qatar walaupun pasukan mereka tidak beraksi dalam kejohanan yang paling berprestij itu. Ini kerana bola rasmi yang digunakan dalam setiap perlawanan Piala Dunia itu adalah buatan negara tersebut.

Menurut laporan daripada kompas, bola rasmi Piala Dunia 2022 yang dinamakan sebagai Al Rihla itu dibuat oleh sebuah kilang di daerah Madiun dalam wilayah Jawa Timur iaitu PT Global Way.

Al Rihla, yang bermaksud “perjalanan” dalam bahasa Arab, dihasilkan dengan kerjasama Adidas.

PT Global Way merupakan pengilang barangan sukan tempatan negara itu yang dibuka pada tahun 2019 dan kini mempunyai lebih 2,000 pekerja. Syarikat tersebut juga bekerjasama dengan Puma, UHLsport dan Mizuno untuk menghasilkan peralatan sukan yang dieksport ke seluruh dunia.

Satu juta cenderahati bola sepak dibuat di kilang itu dan seterusnya dihantar ke Brazil, United Kingdom, Amerika Syarikat, Jerman serta UAE sebagai sebahagian daripada sambutan Piala Dunia.

Selain didakwa sebagai bola terpantas di udara berbanding bola lain dalam Piala Dunia edisi sebelum ini, Adidas turut memberitahu Al Rihla mempunyai ketepatan terbaik dan menyokong permainan pantas dalam sukan bola sepak moden.

Sebanyak 20 panel disertakan di dalam sebiji bola itu bagi membantu meningkatkan aerodinamik. Ini juga didakwa mampu membantu pemain meningkatkan ketepatan hantaran, percubaan dan melencongkannya.

Al Rihla juga diperbuat daripada dakwat dan gam berasaskan air, yang pertama untuk model Piala Dunia, dan pelancaran bola menandakan permulaan jelajah global Adidas untuk membantu “meningkatkan akses dan ekuiti” untuk komuniti bola sepak tempatan di seluruh dunia.

Franziska Loeffelmann, pengarah Grafik Bola Sepak dan Pakaian di Adidas, menerangkan dengan lebih terperinci tentang kelebihan bola ini.

“Bola sepak menjadi lebih pantas, dan lebih pantas, ketepatan dan kestabilan bola di udara menjadi sangat penting.”

“Reka bentuk Al Rihla membolehkan bola mengekalkan kestabilan semasa di udara,” tambah beliau lagi.

Bagaimanapun, media antarabangsa mendakwa bola yang digunakan dalam perlawanan Piala Dunia 2022 di Qatar adalah buatan Pakistan.