Syarikat barangan sukan dari Thailand, Warrix telah memperkenalkan bola rasmi yang akan digunakan dalam saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 bermula pada 20 Disember 2022 hingga 16 Januari 2023.

Lebih menarik, bola tersebut dinamakan sebagai “BERSATU”. Perkataan itu diambil daripada bahasa melayu yang cukup dikenali di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei.

Penggunaan nama BERSATU pada bola tersebut bermaksud kerjasama, harmoni, keghairahan, penyatuan tenaga dan juga mengambarkan perpaduan dalam komuniti masyarakat ASEAN.

Selain itu, bola tersebut direka khas dengan bentuk moden dan mempunyai ciri-ciri menarik seperti teknologi Thermo Bonded yang membantu bola bergerak dengan lancar dalam pelbagai bentuk permukaan padang.

FOTO: Warrix

Malah, bola ini juga mempunyai berat yang seimbang sekaligus membantu pemain mengawal bola dan mengelecek dengan baik tanpa sebarang masalah mengikut arah yang dituju.

Bola ini turut direka untuk mengekalkan kestabilan semasa di udara serta memiliki ciri ciri khas dalam meningkatkan ketepatan dan menyokong permainan pantas dalam bola sepak moden.

Tahun lepas, Warrix telah mengeluarkan bola rasmi Piala AFF dinamakan sebagai “Asean Pulse” yang bermaksud Nadi Asia Tenggara. Ia merupakan lambang semangat serta persahabatan negara anggota ASEAN. Rekabentuk coraknya diilhamkan oleh ‘nadi’ yang menunjukkan irama dan pergerakan penduduk di semua negara Asia Tenggara.

Terdapat juga corak keemasan terapung pada bola ini yang diinspirasikan daripada kisah “Suvarnabhumi” iaitu tanah emas.

Dalam saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022, skuad Harimau Malaya akan berdepan dua pesaing utama, Vietnam dan Singapura dalam kumpulan B. Dua lagi pasukan yang melengkap kumpulan ini ialah Myanmar dan Laos.

Sementara itu Kumpulan A menempatkan juara bertahan Thailand bersama Filipina, Indonesia, Kemboja dan satu lagi pasukan, sama ada Brunei atau Timor-Leste yang akan ditentukan melalui perlawanan play-off. .

Kejohanan AFF edisi 2022 bermula pada 23 Disember, lima hari selepas Piala Dunia FIFA akan datang di Qatar berakhir, memberikan aksi bola sepak berterusan untuk peminat bola sepak Asia Tenggara.