Ketua jurulatih Kuala Lumpur City, Bojan Hodak memberi reaksi terhadap perpindahan bekas pemainnya, Daniel Ting yang baru-baru ini kembali menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT).

Menurut perkongsian wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, beliau gembira kerana Daniel kembali ke saingan Liga Malaysia dan mengucapkan selamat maju jaya kepada pemain berusia 29 tahun itu bersama kelab barunya.

“Saya gembira kerana beliau mengambil suntikan vaksin dan dia kembali ke Liga Malaysia. Saya juga gembira kerana beliau kini mendapat gaji tiga kali ganda bersama Johor. Ini adalah satu perkara yang anda tidak boleh lawan kerana pemain sudah pasti mahu menyertai pasukan yang besar.

“Saya ucapkan selamat maju jaya kepadanya. Dia seorang individu yang baik dan telah banyak berjasa kepada pasukan ini. Saya ucapkan selamat berjaya kepada beliau pada masa akan datang,” kata Bojan Hodak.

JDT mengumumkan ketibaan Daniel baru-baru ini dimana mereka memuat naik video yang menunjukkan Daniel melawat Stadium Sultan ibrahim dan bertemu dengan Pengarah Sukan kelab, Alistair Edwards.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Samad mendedahkan faktor utama mengapa Daniel meninggalkan KL City adalah kerana pemain itu enggan mengambil suntikan vaksin susulan peningkatan kes COVID-19 pada bulan Mac lalu.

Musim 2021 menjadi kebangkitan bagi Daniel Ting dalam saingan Liga Malaysia dimana kali terakhir beliau beraksi di negara ini ialah pada musim 2018 PKNS FC atau yang kini lebih dikenali dengan Selangor 2.

Muncul sebagai pemain paling konsisten sepanjang musim 2021, namun Daniel tidak dipanggil untuk mewakili skuad kebangsaan bagi saingan Piala AFF Suzuki 2020 yang dilangsungkan pada Disember 2021 hingga Januari 2022.

Di JDT, Daniel akan bersaing dengan La’Vere Corbing-Ong bagi mengisi posisi pertahanan kiri dan sekiranya beliau menampilkan prestasi yang baik, tidak mustahil Daniel akan dipanggil menyertai skuad kebangsaan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

Liga Super 2022: Sabah Ikat Selangor 1-1 Di Kelana Jaya

Penyokong Indonesia Kecewa Jordi Amat Pilih Sertai JDT

TMJ: Saya Tak Faham Kenapa Jurulatih Ambil Guilherme De Paula