Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memilih ketua jurulatih Kuala Lumpur City FC Bojan Hodak sebagai ketua jurulatih sekiranya diberi tanggungjawab untuk menguruskan pasukan negara.

Perkara ini didedahkan oleh bekas pemain skuad kebangsaan, Hairuddin Omar dimana beliau berkongsi satu cerita ketika menghadap Tunku Ismail dan bertanyakan mengenai jurulatih mana yang menjadi pilihannya sekiranya menguruskan skuad kebangsaan.

“Sewaktu dulu, saya pernah borak santai bersama TMJ ketika diberi ruang untuk menghadap. Ketika itu beliau baru saja gugurkan Bojan Hodak dan Nenad Bacina daripada pasukan JDT ketika menjuarai Liga Super buat pertama kali.

“Saya bertanya siapa yang akan Tunku lantik sekiranya berpeluang untuk menguruskan pasukan negara dan beliau memilih Bojan untuk menjadi ketua jurulatih. Saya tanya mengapa Bojan sedangkan dia dibuang dari staf kejurulatihan JDT?

“Beliau jawab di JDT mereka ada Philosophy of play dan corak permainan Bojan tidak sesuai dengan filosofi yang diterapkan. Tetapi untuk pasukan negara, beliau merasakan Bojan lebih sesuai kerana ada beberapa perkara pada pandangan beliau yang pasukan negara akan berjaya dan berkembang di bawah kendalian Bojan.

“Antara perkara yang dimaksudkan ialah Bojan sudah kenal dan tahu kualiti pemain tempatan kita. Bojan juga sudah tahu kualiti pasukan negara-negara serantau. Bojan juga sudah faham budaya sosial Malaysia dan Bojan sudah mengetahui bagaimana untuk bermain dan meraih kemenangan menentang pasukan serantau,” kata Hairuddin.

Selain mempunyai pengalaman menguruskan pasukan dalam saingan Liga Malaysia, jurulatih dari Croatia itu turut mempunyai pengalaman menguruskan beberapa kelab di negara Asean lain seperti Kemboja (Phnom Penh Crown) dan Indonesia (PSM Makassar). Bojan juga pernah menjadi ketua jurulatih skuad B-19 tahun negara.

Situasi ketua jurulatih ketika ini, Tan Cheng Hoe menjadi tanda tanya selepas Malaysia hanya mampu menamatkan saingan di peringkat kumpulan sekaligus gagal untuk mara ke peringkat separuh akhir saingan Piala AFF Suzuki 2020.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Piala AFF Suzuki 2020 di sini:

Presiden FA Thailand ‘Hulur’ Bonus Peribadi RM1.25 Juta Jika Tewaskan Vietnam Di Separuh Akhir Piala AFF 2020

Singapura Kehilangan Khidmat Shakir Hamzah

Teamtalk Shin Tae-yong Ini Dedahkan 4 Kelemahan Utama Skuad Malaysia Ketika Bertemu Indonesia