Kejayaan skuad Kuala Lumpur (KL City) mara ke final Piala AFC 2022 membuktikan pasukan kerdil yang berbelanja kecil mampu melangkah lebih jauh di pentas Asia.

Ia menjadi satu lagi sejarah besar dicipta KL City di bawah kendalian Bojak Hodak selepas menamatkan penantian 32 tahun skuad itu untuk menjulang Piala Malaysia pada tahun lalu.

Malah, Bojan sendiri terkejut melihat kemampuan anak buahnya menewaskan kelab dari Uzbekistan yang diketahui memiliki kualiti dan ranking lebih tinggi daripada Malaysia.

“Kami hanya kelab kecil dengan bajet yang kecil.

“Ini adalah kejayaan yang sukar dipercayai dan bagus untuk bola sepak Malaysia, kami akan cuba pergi sehingga ke penghujung kejohanan ini serta memenangi trofi,” katanya kepada AFC.

Dalam perlawanan semalam, penjaga gol KL City, Kevin Medonza beraksi cemerlang apabila tangkas menafikan deretan percubaan berbahaya Sogdiana sejak separuh masa pertama.

Bojan Hodak kekal dengan taktikal bertahan sehingga diheretkan kepada penentuan sepakan penalti. Kesempatan itu dimanfaatkan oleh KL City apabila menyempurnakan semua sepakan penalti sekaligus mara ke final.

“Saya tegaskan kepada pemain, kualiti bola sepak Uzbekistan lebih tinggi daripada Malaysia. Kami sudah jangka perlawanan akan jadi sukar, kami sangka mereka akan mendominasi di tempat sendiri tetapi kami berjaya menafikan peluang mereka dan hanya tunggu untuk melakukan serangan balas.

“Kita ada 2 hingga 3 peluang terbaik untuk menjaringkan gol tetapi akhirnya ia diheretkan kepada penentuan penalti dimana tuah berpihak kepada kami,” jelas Hodak.

Pengalaman menentang kelab Vietnam, Viettel FC dan kelab India, ATK Mohun Bagan jelas mengajar KL City beraksi lebih tenang menyerap setiap asakan pemain lawan.

Hasil kemenangan ini bermakna KL City akan bertemu kelab dari Oman, Al Seeb di perlawanan akhir Piala AFC 2022 yang bakal berlangsung pada 22 Oktober ini. Mereka berpeluang menyamai pencapaian JDT yang pernah menjuarai Piala AFC pada tahun 2015.

β€œKami melakukannya di Vietnam, di India dan di sini. Dengan pasukan yang mengamalkan corak serangan pantas, anda sentiasa mencari cara untuk melakukan serangan balas atau set-piece, kami sentiasa mencuba yang terbaik dan kami akan mengkaji Al Seeb dan melihat bagaimana kami boleh menewaskan mereka,” tegas Bojan Hodak.