Skuad Kuala Lumpur City FC (KL City) merupakan satu-satunya wakil Liga Malaysia yang masih bertanding di peringkat kalah mati saingan kelab Asia selepas Kedah dan JDT tersingkir pada bulan lepas.

Mereka dijadualkan bertemu Kelab India, ATK Mohun Bagan dalam perlawanan separuh akhir antara zon, Piala AFC 2022 di Kolkata pukul 9.30 malam ini waktu Malaysia.

Pengendali KL City, Bojan Hodak mempunyai rekod yang baik berdepan kelab India. Beliau pernah membantu JDT menewaskan Bengaluru dalam saingan play-off AFC Champions League 2015 dan East Bengal dalam AFC Cup 2015.

Perlawanan itu juga bakal menyaksikan pertembungan taktikal Hodak dan pengendali ATK Mohun Bagan (Juan Ferrando) yang menjadi salah satu faktor penentu siapa yang akan mara ke final Antara Zon nanti.

“Mohun Bagan merupakan antara pasukan terkuat di India dan mereka mempunyai ramai penyokong. Rasanya separuh daripada stadium akan dipenuhi oleh penyokong mereka. Ianya akan menjadi perlawanan yang sengit.

“Saya pernah menentang kelab India dua kali,  dan menang kedua-duanya. Jadi, saya harap ia berulang lagi esok (malam ini). Apa yang baik ialah kami tidak berada dalam tekanan.

“Kami hanya sebuah kelab kecil dan 30 tahun tidak mengecapi sebarang kejayaan. Mohun Bagan lebih tertekan kerana mereka akan bermain di hadapan ribuan penyokong sendiri. Kami hanya perlu menikmatinya dan buat yang terbaik,” kata Bojan Hodak dipetik dalam AFC.

Ini merupakan aksi pertama Mohun Bagan di pentas antarabangsa selepas berehat selama 3 bulan daripada saingan Piala AFC.

Lebih menarik, pasukan tersebut turut diperkuatkan oleh abang kandung kepada pemain terkemuka dunia, Paul Pogba iaitu Florentin Pogba yang beraksi di posisi pertahanan tengah.

Malah, mereka juga mempunyai pemain tengah berkualiti dari Australia, Dimitri Petratos yang pernah beraksi di Piala Dunia 2018. Petratos merupakan bekas pemain import TRW Kelantan pada musim 2012-2013 dan sudah tentu beliau amat mengenali corak permainan pasukan Liga Malaysia.

Bojan Hodak turut memberi amaran kepada anak buahnya supaya sentiasa mengawasi kelibat Petratos kerana pemain tersebut cukup berbahaya jika dibiarkan bergerak bebas.

“Dia telah bermain dengan pasukan saya (TRW Kelantan) ketika berumur 19 atau 20 tahun. Masa tu dia merupakan bintang muda yang meningkat naik. Sekarang, beliau merupakan pemain terkemuka yang pernah beraksi di Piala Dunia.

“Perkara paling sukar tentang Dimitri Petratos ialah dia mampu menentukan keputusan perlawanan. Pemain seperti ini cukup berbahaya. Sudah tentu kami sudah menonton video aksinya dan kami akan menghalangnya,” tambah Hodak.

Baca juga artikel lain melalui pautan dibawah: 

Piala AFC 2022: KL City Juara Zon ASEAN, Bawa Pulang 100,000 USD

Penyokong PSM Makassar Cedera Diserang, Cermin Bas Turut Pecah

ACL 2022: Urawa Red Terlalu Unggul, Perjalanan JDT Terhenti Di Saitama