Ketua jurulatih Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak memuji penyerang muda, Muhammad Haqimi Azim Rosli yang tidak mensia-siakan peluang diberi untuk membantu pasukan meraih kemenangan 2-0 ke atas Sri Pahang FC dalam aksi Liga Super, kelmarin.

Meskipun perlawanan itu agak mencabar dengan keadaan padang yang basah, namun barisan pemain tetap mencari peluang untuk menjaringkan gol sehingga Haqimi berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-31.

Bagi Hodak, Haqimi Azim yang berusia 19 tahun itu membuktikan kemampuannya apabila peluang diberi untuk membarisi kesebelasan utama dan berharap dia mampu untuk meneruskan momentum pada aksi-aksi akan datang.

“Sangat penting untuk kita menang perlawanan ini walaupun agak penat sedikit bermain dengan keadaan padang yang basah.”

“Separuh masa kedua mereka bermain dengan lebih baik dan saya gembira dengan pasukan terutamanya Haqimi kerana ini kali kedua dia bermain dan benar-benar menggunakan peluang ini sebaiknya.”

“Kami meminta dia untuk menggunakan kelajuan yang dia ada dan dia sebenarnya nak menjaringkan lagi gol untuk pasukan.”

“Ini penting untuknya bina keyakinan dan meningkatkan lagi kualiti permainan”, jelas Bojan Hodak lagi.

Haqimi Azim juga merupakan salah seorang daripada anggota skuad muda negara ketika muncul pemenang Kejuaraan AFF Bawah 19 Tahun 2022 yang berlangsung di Jakarta, Julai lalu.

Kuala Lumpur kini di kedudukan kelima Liga Super dengan 25 mata manakala Sri Pahang di tangga ketujuh dengan 21 mata.

Bojan Hodak dan anak buahnya akan berkunjung ke Stadium Hang Jebat pada Khamis ini untuk berhadapan dengan pasukan yang kini dipalit dengan isu tunggakan gaji, Melaka United.