Kelab divisyen 1 Liga Indonesia, PSM Makassar hari ini mengumumkan Bojan Hodak sebagai ketua jurulatih baharu untuk musim depan. Pengendali dari Croatia itu akan menggantikan tempat Darije Kalezic yang memutuskan untuk meletak jawatan sebaik sahaja tamat saingan liga musim 2019.

Bojan Hodak diperkenalkan kepada media di kediaman CEO PSM Makassar, Munafri Arifuddin dan turut diumumkan melalui laman sosial rasmi kelab tersebut.

Hodak bukanlah nama asing bagi peminat bola sepak di Indonesia kerana beliau pernah melatih pasukan Malaysia bawah 19 tahun (B-19) menewaskan skuad garuda muda di perlawanan akhir kejohanan AFF B-19 pada tahun lalu. 

Pengalaman luas yang dimiliki oleh Hodak ketika melatih pasukan JDT, Kelantan dan Pulau Pinang ditagih bagi membantu PSM Makassar meraih pelbagai kejayaan pada tahun depan.

“Antara beberapa kriteria jurulatih yang kita mahu rekrut ialah orangnya mestilah faham tentang bola sepak Asia Tenggara, memiliki pengalaman di AFC dan akhirnya Bojanlah orangnya yang dipilih untuk melatih PSM,” kata Munafri.

Munafri turut mengesahkan Bojan Hodak telah menandatangani kontrak selama 1 tahun dan meletakkan sasaran untuk menjuarai Liga 1 dan juara kumpulan dalam kejohanan AFC Cup pada tahun 2020.

“Kami sudah bertemu dan tanda tangan kontrak di Surabaya, beliau akan tiba di Makassar pada 5 Januari nanti, sekarang dia masih bercuti,” tambahnya.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

Mario Gomez Letak Jawatan Sebagai Pengendali Borneo FC

Shin Tae-Yong Tandatangani Kontrak Sebagai Jurulatih Indonesia Selama 4 Tahun

Malas Bantu Pertahanan Punca Nguyen Cong Phuong Gagal Mendapat Tempat Di Kelab Sint-Truiden VV Belgium