Ketua jurulatih Kuala Lumpur City, Bojan Hodak tidak berpuas hati dengan tindakan ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Kim Pan-gon yang kurang menggunakan pemainnya ketika kejohanan empat penjuru iaitu King’s Cup 2022 di Chiang Mai, Thailand baru-baru ini.

Menurut Bojan, beliau menganggap Declan dan Zhafri seolah-olah pergi “bercuti” dan sepatutnya kedua-dua pemain kekal bersama KL City bagi melakukan persediaan untuk menghadapi perlawanan akhir saingan Piala AFC Inter-Zone menentang kelab Uzbekistani iaitu PFC Sogdiana pada 5 Oktober ini.

“Dia (Pan-gon) hanya membawa kedua-dua pemain pergi bercuti. Mereka sepatutnya kekal bersama kami untuk aksi Liga Super menentang Penang. Jurulatih mempunyai pilihan tetapi dia berkata mahu menggunakan mereka dalam skuad kebangsaan.

“Tapi lihat apa yang terjadi di Chiang Mai. Dia jarang menggunakan pemain yang dibawa. Kita semua mahu menyumbang kepada bola sepak Malaysia. Saya tidak meletakkan kesalahan di bahu FAM, tetapi ketua jurulatih. Saya rasa Declan dan Zhafri hanya membuang masa di sana,” kata Bojan Hodak dipetik dari laporan The Star.

Declan hanya beraksi selama 10 minit pada aksi pertama menentang Thailand dimana beliau dimasukkan pada separuh masa kedua manakala Zhafri hanya memanaskan bangku simpanan dalam kedua-dua perlawanan.

Peminat juga kecewa kerana Zhafri masih belum mendapat penampilan pertama bersama skuad kebangsaan kerana mereka menganggap pemain itu merupakan salah seorang pemain tengah terbaik dalam negara ketika ini.