Meskipun tidak lagi menjadi jurulatih skuad bawah 19 tahun negara (B-19), Bojan Hodak masih mengikuti perkembangan bola sepak Malaysia terutamanya kejohanan AFF B-18 apabila anak buah Brad Maloney muncul sebagai naib juara baru-baru ini.

Berdasarkan pemerhatian Bojan Hodak, beliau menyifatkan skuad negara masih jauh ketinggalan dan mencabar anak buah Brad Maloney tingkatkan prestasi jika mahu beraksi di peringkat yang lebih tinggi di Asia.

Dalam kejohanan tersebut, Malaysia tewas 0-1 kepada pencabar terkuat seperti Vietnam, Thailand serta Australia dan situasi itu menuntut Maloney memperbaiki beberapa kelemahan yang ketara di bahagian pertahanan.

“Skuad negara masih di tahap ASEAN dan untuk berada di tahap seterusnya, prestasi skuad negara perlu lebih bagus dalam Kejohanan AFF.

“Mereka kini meniti landasan tepat untuk sekali lagi layak ke Kejohanan AFC dan berpeluang menguji keupayaan di peringkat yang lebih tinggi,” katanya dalam Stadium Astro.

68755671_2334152530014831_6596429734924517376_n

Beliau yang membawa skuad negara muncul sebagai juara kejohanan AFF B-18 di Indonesia pada tahun lepas turut memuji prestasi pemain yang lahir daripada Program Pembangunan Bola Sepak Negara Malaysia (NFDP) berbanding pemain yang datang daripada skuad Piala Presiden dan Piala Belia negeri.

“Barisan pemain NFDP mempunyai kualiti daripada segi teknikal dan taktikal memandangkan mereka menimba ilmunya di sekolah selama lima tahun.

“Bagaimanapun, (berbeza dengan) pemain selebihnya yang hanya mula didedahkan dengan ilmu bola sepak sebaik menyertai kelab, iaitu ketika berusia 16 tahun menerusi Piala Belia,” tambahnya.

68653248_2334057590024325_6566246409870245888_o
FOTO: FAM

Pada saingan Kelayakan Kejuaraan B-19 AFC 2020 bulan November ini, Malaysia diletakkan dengan Kumpulan G dengan tuan rumah, Kemboja, Thailand, Brunei dan Northern Mariana Islands.

Mereka akan menentang Kemboja pada 2 November, Brunei Darussalam (6 November), Northern Mariana Islands (8 November), sebelum menamatkan aksi pusingan kelayakan menentang Thailand pada 10 November.

Sebanyak 46 negara yang dibahagikan kepada 11 kumpulan bakal bersaing bagi merebut tempat ke pusingan akhir dengan juara setiap kumpulan dan lima pasukan terbaik di tempat kedua mara ke pusingan akhir.

Sumber