Pengendali kelab liga divisyen 1 Liga Indonesia, PSM Makassar iaitu Bojan Hodak mengakui gaji majoriti pemain di negara seberang masih rendah jika dibandingkan dengan negara asia tenggara yang lain seperti Malaysia dan Thailand.

Bercakap dalam The Star, beliau juga mendedahkan hanya beberapa kelab Indonesia sahaja yang mampu memberi kontrak jika mereka berminat untuk mendapatkan khidmat pemain dari Malaysia.

“Masalahnya di sini hanya beberapa kelab besar sahaja yang hanya mampu menawarkan gaji lebih tinggi daripada pasukan Liga Malaysia. Sama juga di Thailand.

“Sebab itu anda boleh lihat lebih ramai pemain Singapura dan Thailand memilih untuk berhijrah ke Liga Malaysia,” katanya.

Jika diberi pilihan, Bojan Hodak ingin membawa masuk bekas penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat bagi memperkuatkan pasukannya.

“Saya lihat pemain Liga Malaysia ada potensi untuk menyinar dalam Liga Indonesia. Pemain Malaysia ada kualiti dan saya percaya Khairul Fahmi akan memberikan impak yang besar,” tambahnya.

Khairul Fahmi Che Mat
Khairul Fahmi Che Mat. Sumber Gambar: Football Tribe

Hodak bukanlah nama asing bagi peminat bola sepak di Indonesia kerana beliau pernah melatih pasukan Malaysia bawah 19 tahun (B-19) menewaskan skuad garuda muda di perlawanan akhir kejohanan AFF B-19 pada tahun lalu.

Jurulatih yang berusia 48 tahun itu sempat mengendalikan PSM Makassar dalam 4 perlawanan sebelum saingan Liga Indonesia ditangguhkan kerana peningkatan kes wabak pandemik COVID-19.

Beliau turut mengakui wabak tersebut telah memberi kesan yang besar kepada kewangan semua pasukan dari Asia Tenggara dan meramalkan ia mengambil masa hingga 12 bulan untuk kembali pulih.

“3 bulan tanpa bola sepak boleh musnahkan satu kelab di dunia ini. Pasukan akan kehilangan sumber pendapatan dari segi kutipan tiket, penajaan dan hak penyiaran. Indonesia lebih terkesan kerana hasil kutipan tiket mereka cukup tinggi.

“Terdapat beberapa kelab masih bergantung pada dana kerajaan atau agensi tetapi itu sekarang digunakan untuk memerangi wabak COVID-19. Kelab yang tiada penaja akan menghadapi masalah besar dan gaji pemain terpaksa dipotong,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau kagum dengan semangat penyokong bola sepak di Indonesia yang sentiasa memberi sokongan kepada pasukan mereka setiap kali ada perlawanan liga.

1c7134e7-9010-445c-a249-39c333256411_169
(Foto: CNN Indonesia/Andry Novelino)

“Terdapat banyak penjualan dan jumlah penyokong yang padat di luar stadium apabila mereka buat pengumuman pemain dan jurulatih untuk musim baharu. Ini tidak pernah terjadi di negara lain tetapi di Indonesia, ini perkara biasa.

“Indonesia mempunyai potensi yang luar biasa, mereka ada penyokong yang fanatik dan mereka jenis yang sentiasa menyokong tidak kira pasukan kalah atau menang. Penyokong mereka juga merupakan sumber pendapatan utama pasukan melalui jualan tiket,” jelas Hodak.

Lihat artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

Media Indonesia Gesa PSSI Belajar Dari FAM Mengenai Pemain Naturalisasi

Kelab Jepun Ini Catatkan Kerugian RM81.67 Juta Pada Musim 2019, Bakal ‘Bungkus’ Buat Kali Ke-2 Dalam Sejarah

Demi Misi Beraksi Di EPL, Penjaga Gol Kacukan Vietnam Ini Guna ‘Kabel’ Agensi Sama Dengan Petr Cech