Skuad kebangsaan Thailand bakal menghadapi dua pasukan Eropah iaitu Georgia dan Estonia dalam satu aksi persahabatan dan pemain bintang pasukan, Chanathip Songkrasin bakal berhadapan dengan pemain lincah Napoli iaitu Khvicha Kvaratskhelia.

Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) sudah menyatakan persetujuan untuk terbang ke Eropah dan bakal turun menentang Georgia bimbingan bekas pemain Perancis, Willy Sagnol yang kini berada di kedudukan ke-75 dengan 1305.98 mata manakala Estonia pula dua tangga diatas Thailand utuk menduduki tempat ke-109.

Perlawanan ini bakal diadakan dalam kalendar FIFA dan sudah pasti kedua-dua pasukan mahu membawa pemain terbaik mereka untuk berdepan raja Asia Tenggara khususnya Georgia dimana mereka bakal diperkuatkan oleh Kvaratskhelia.

Kvaratskhelia ketika ini merupakan salah seorang pemain terbaik dalam saingan Serie A dimana beliau menjadi pemain utama Napoli yang sedang menduduki tangga pertama dalam carta liga.

Setakat ini, Kvaratskhelia telah menjaringkan 9 gol dan beliau menduduki tangga keempat di belakang penyerang Inter Milan, Lautaro Martinez (12 gol), pemain sayap Atalanta, Ademola Lookman (12 gol) dan rakan sepasukan, Victor Osimhen (17 gol).

Pertembungan antara bintang Napoli dan Chanathip Songkrasin ini dianggap menarik kerana meskipun beraksi di liga yang jauh berbeza, namun kedua-dua pemain memiliki gaya permainan yang hampir sama iaitu laju dan mampu untuk membuat gelecekan yang menewaskan pemain pertahanan lawan.

Aksi menentang Georgia dan Estonia ini akan menjadi medan untuk melihat sejauh mana kemampuan pasukan dari Asia Tenggara untuk menentang pasukan dari Eropah meskipun kedua-dua pasukan itu tidak berada dalam senarai elit dan jarang beraksi di kejohanan besar seperti Piala Dunia dan UEFA Euro.