Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan terus diberikan tekanan oleh penyokong setia pasukan apabila mereka mahu Bibi melepaskan jawatan beliau selaku presiden persatuan tersebut.

Sebelum perlawanan Liga Perdana 2019 menentang Pulau Pinang di Stadium Mohammad Ke-IV, Kota Bharu hari ini, beberapa sepanduk diletakkan di beberapa lokasi yang mendesak agar Bibi bersama sekutunya agar meletak jawatan kerana dianggap telah merosakkan bola sepak Kelantan.

Sejak di bawah naungan Bibi Ramjani, KAFA sememangnya berada dalam keadaan yang kacau-bilau. Pada tahun pertama, beberapa kontroversi melanda pasukan dimana mereka menyisihkan pemain senior seperti Piya dan Khairul Fahmi. Selain itu, pertukaran ketua jurulatih mengakibatkan Kelantan gagal bertahan dalam saingan Liga Super dan terjerumus ke Liga Perdana.

Musim ini, skrip sama berulang dimana bekas juara Piala Malaysia 2012 dan 2013 ini dilanda masalah kewangan, kehilangan rakan kongsi serta dihukum oleh MFL kerana gagal untuk mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Kelantan dipotong empat mata dalam saingan Liga Perdana dan geran tahunan mereka turut dipotong sebanyak 50%.

Apa yang pasti, KAFA perlu segera mencari jalan penyelesaian agar kemelut yang terjadi ketika ini tidak berterusan sehingga ke penghujung musim. Kelantan ketika ini menghuni tangga tercorot dengan kutipan empat mata.