Kelab Liga Profesional divisyen 2 Jepun (J. League 2), Fagiano Okayama dikhabarkan bakal membuka peluang kepada pemain muda dari Malaysia yang berumur 13 hingga 17 tahun untuk mengembangkan bakat mereka di negara tersebut mulai musim 2020.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, pihak Yakult Malaysia telah bersetuju untuk menawarkan biasiswa persekolahan berjumlah RM100,000 dalam tempoh setahun untuk tiga pemain dari Malaysia bagi menampung kos sara hidup mereka di Jepun.

Katanya dalam Kosmo, biasiswa berkenaan adalah hasil perbincangan Fagiano Okayama bersama sebuah Sekolah Tinggi Gakugeikan yang turut berkolaborasi dengan kelab berpangkalan di Okayama tersebut.

“Selepas berbincang dengan pihak pengurusan sekolah swasta yang berkolaborasi dengan Fagiano Okayama, mereka bersetuju untuk memberikan biasiswa istimewa kepada pemain Malaysia yang berbakat bawah 17 tahun untuk ditempatkan serta bersekolah di Jepun.

“Mereka akan menampung supaya dapat belajar dan bermain di Jepun dan ia adalah untuk merapatkan lagi hubungan Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” katanya.

46646601_2012511938813935_4017111997467328512_n
FOTO: Fagiano Okayama

Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada mengesahkan perkembangan tersebut dan menjelaskan pihaknya sedia membantu mana-mana pemain Malaysia yang layak serta berminat untuk menyambung pelajaran sambil bermain bola sepak di negara matahari terbit itu.

“Pihak Yakult akan membantu pemain yang layak dengan memberikan mereka Biasiswa Yakult bagi menampung kos pembelajarannya di sana.

“Pihak sekolah tersebut telah bersetuju untuk memberikan yuran pembelajaran secara percuma, cuma perlu membayar wang yuran penginapan dan makan sebanyak RM2,000 sebulan. Kos ini akan di tanggung oleh pihak kami,” jelasnya.

Sumber