Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menegaskan mereka tidak berminat untuk mengambil alih Liga Malaysia daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) seperti yang dicadangkan oleh Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA).

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan pihaknya mahu MFL untuk terus menguruskan Liga Malaysia dan akan memberikan sokongan penuh.

datuk yusoff mahadi
Sumber Gambar: FAM

“Penganjuran liga domestik secara profesional seumpama ini seiring dengan kehendak Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan juga sama seperti liga domestik terkemuka Asia seperti Jepun dan Korea Selatan serta liga terkemuka dunia seperti Liga Perdana Inggeris dan La Liga.

“Badan bebas pentadbir liga domestik ini ditubuhkan bukan saja bagi memenuhi keperluan ditetapkan AFC, malah ia juga evolusi bola sepak profesional,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Sebelum ini, Pemangku Presiden SAFA, Datuk Peter Anthony berpendapat FAM perlu diberi kuasa penuh untuk kembali menguruskan Liga Malaysia.

Malah, Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) Datuk Posa Majais menggesa CEO MFL, Kevin Ramalingam untuk meletakkan jawatan kerana beliau dianggap gagal dalam menguruskan badan tersebut.