Kepab Thailand, BG Pathum United menjadi wakil tunggal Asia Tenggara dalam peringkat kalah mati saingan AFC Champions League (ACL) musim ini.

Pada aksi terakhir kumpulan F menentang juara bertahan, Ulsan Hyundai dari Korea Selatan semalam, BG Pathum mempunyai peluang untuk menjadi juara kumpulan dimana mereka wajib menewaskan Hyundai dengan tiga jaringan dan tidak boleh dibolosi.

Namun, juara Thai League musim 2020/2021 itu gagal berbuat demikian apabila tewas dengan keputusan 2-0 hasil jaringan Kim Min-jun pada minit ke-31 dan Valeri Qazaishvili pada minit ke-87.

Meskipun tewas, namun perkara itu tidak menghalang BG Pathum untuk menduduki tangga kedua setelah mengutip 12 mata selepas menghadapi enam perlawanan.

Pasukan bimbingan Aurelio Vidmar itu mengetepikan cabaran dari kelab Vietnam, Viettel yang menduduki tangga ketiga serta Kaya FC dari Filipina yang menduduki tangga keempat.

Pencapaian BG Pathum ini merupakan pencapaian terbaik yang berjaya diraih oleh kelab dari rantau Asia Tenggara dimana pasukan lain gagal untuk melepasi saingan peringkat kumpulan.

Dalam kumpulan G, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Ratchaburi sekadar menduduki tangga ketiga dan keempat. Dalam kumpulan H, Chiangrai United dan Tampines Rovers turut berada di kedudukan sama.

Dalam kumpulan I, United City sekadar menduduki tangga ketiga manakala Port FC turut berada di kedudukan sama.

Pada aksi 16 pasukan terakhir, BG Pathum akan turun berdepan kelab Korea, Jeonbuk Hyundai Motors.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia di sini:

Adam Hamid Dan Omar Raiyan Berada Dalam Radar Skuad B-20 Tahun Negara

Kelayakan AFC B-23: 8 Pemain Yang Boleh Dipanggil Sertai Skuad B-20 Tahun

FAM Hantar Skuad Bawah 20 Tahun Hadapi Kelayakan Piala Asia B-23 Di Mongolia