Pemain dari Jepun terus mendapat perhatian pasukan gergasi Eropah apabila kelab yang beraksi dalam saingan Liga Turki, Besiktas berminat untuk mendapatkan khidmat Yuma Suzuki bagi memperkuatkan jentera serangan mereka untuk mengharungi saingan musim 2019/2020.

Suzuki, yang beraksi bersama Kashima Antlers dalam saingan J1 League telah berjaya merekodkan sebanyak 48 gol dan 25 assist dalam 159 penampilan bersama kelab yang diwakili beliau sejak musim 2015 itu.

Namun, Suzuki terlepas peluang untuk beraksi dalam kesebelasan utama Kashima apabila pemain itu berehat sejak Februari lalu kerana masalah kecederaan hamstring yang dialami ketika sesi latihan.

Yuma Suzuki
Sumber Gambar: Japan Times

Dikhabarkan bukan hanya Besiktas yang berminat untuk membawa masuk Suzuki malah kelab Belgium, Sint-Truiden turut menyuarakan hasrat mereka untuk merekrut penyerang berusia 23 tahun itu.

Meskipun begitu, Yuma Suzuki dikatakan lebih berminat menyertai Besiktas kerana tahap saingan Liga Turki lebih tinggi berbanding Belgium.

Sebelum ini, pemain bintang skuad The Samurai Blue, Shinji Kagawa mencipta sejarah apabila menjadi pemain Jepun pertama yang beraksi dalam saingan Liga Turki. Kagawa menyertai Besiktas secara pinjaman daripada Borussia Dortmund.

Sejak jendela perpindahan musim panas dibuka pada Jun lalu, beberapa pemain Jepun khususnya pemain muda telah melengkapkan perpindahan dengan menyertai kelab-kelab besar di Eropah.

Takefusa Kubo memulakan langkah apabila menyertai skuad bimbingan Zinedine Zidane, Real Madrid. Diikuti dengan Shoya Nakajima yang menyertai FC Porto berserta dua pemain pertahanan, Takehiro Tomiyasu dan Koki Anzai yang menyertai Bologna dan Portimonense SC.