Meskipun meraih kemenangan ke atas Malaysia pada perlawanan kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 semalam, ketua jurulatih pasukan kebangsaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) tidak berpuas hati dengan permukaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Marwijk mengakui bahawa Stadium Nasional merupakan antara stadium tercantik yang beliau pernah lihat. Namun, permukaan padang nyata mengecewakan pengendali berusia 67 tahun itu dan ianya sedikit-sebanyak menjejaskan rentak permainan pasukan bimbingannya.

Bert
Bert van Marwijk. Sumber Gambar: The National

“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Malaysia kerana memiliki stadium yang sangat cantik. Stadium ini merupakan antara stadium tercantik yang pernah saya lihat.

“Akan tetapi, sayang sekali keadaan padang tidak begitu baik. Sukar untuk kami bermain dengan tempo permainan yang pantas dan ianya turut memberi kesan terhadap Malaysia,” katanya pada sidang media yang diadakan sejurus selepas perlawanan.

Pada masa yang sama, bekas pengendali pasukan kebangsaan Belanda itu juga mengakui bahawa anak-anak buahnya memulakan perlawanan dengan langkah kiri namun lega kerana dapat memperbaiki kesilapan yang dilakukan pada babak pertama di separuh masa kedua.

Bert
Norshahrul Idlan Talaha. Sumber Gambar: FAM

“Kami memulakan perlawanan dengan sedikit masalah terutamanya di bahagian kiri dan juga tengah. Saya cuba memperbetulkan keadaan pada separuh masa pertama. Akan tetapi kami berdepan kesukaran.

“Pada separuh masa kedua, akhirnya kami memahami situasi sedia ada sekaligus memperbaiki kelemahan yang ada. Walau apa pun, secara keseluruhan pemain-pemain saya telah menampilkan persembahan yang baik, terutamanya di separuh masa kedua,” tambah van Marwijk.

Pada perlawanan semalam, Ali Makhbout menjadi wira UAE apabila menjaringkan dua gol sekaligus memadam kelebihan yang dimiliki oleh Malaysia menerusi jaringan awal Syafiq Ahmad.

Baca artikel lain mengenai perlawanan antara Malaysia menentang UAE di sini:

Ali Mabkhout Musnahkan Impian Harimau Malaya Kutip Tiga Mata Penuh Di Halaman Sendiri