Kekalahan di tangan pasukan Thailand dalam perlawanan kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 nyata sukar diterima oleh ketua jurulatih Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bert van Marwijk.

Sebelumnya, UAE mempunyai rekod sempurna dalam saingan kumpulan G dimana mereka mencatat dua kemenangan ketika menentang Malaysia dan Indonesia. Namun, rekod tersebut lebur apabila skuad kendalian Akira Nishino menampilkan persembahan mantap sekaligus membuat UAE berputih mata.

Menurut van Marwijk, pasukan lawan nyata wajar meraih kemenangan kerana prestasi yang ditampilkan oleh para pemain skuad Gajah Perang lebih baik berbanding pemain UAE.

Bert

Bert Van Marwijk. Sumber Gambar: UAE FA

“Keputusan perlawanan sememangnya wajar setelah Thailand menampilkan satu persembahan yang luar biasa. Tetapi saya amat kecewa dengan gol kedua yang dijaringkan mereka. Meskipun Mabkhout berjaya menyamakan kedudukan, namun kami gagal untuk memanfaatkan peluang yang lain,” kata Bert van Marwijk.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Thammasat semalam, Teerasil Dangda membuka tirai jaringan pada minit ke- 26 apabila beliau bijak menanduk masuk bola hasil daripada hantaran Ekanit Panya di sebelah kiri. Ali Mabkhout kemudiannya menjaringkan gol penyamaan pada separuh masa kedua namun Panya memastikan tiga mata menjadi milik Thailand menerusi jaringan pada minit ke-51.

Pada masa yang sama, Ali Mabkhout berpendapat pasukannya tidak menampilkan aksi yang baik dan memasang misi untuk kembali meraih kemenangan apabila berdepan Vietnam pada November ini.

“Kita tidak begitu bagus. Tetapi itu perkara biasa dalam bola sepak. Kami tahu bagaimana corak permainan Vietnam. Mereka menampilkan corak permainan yang baik namun kami akan bangkit nanti,” katanya.

Baca artikel lain mengenai pasukan UAE dan Thailand di sini:

Teerasil Dangda Buktikan Masih Berbisa, Thailand Tumbangkan UAE 2-1 Di Bangkok

Ali Mabkhout Cipta Sejarah Jadi Penjaring Terbanyak UAE

Thailand Terajui Kedudukan Dalam Kumpulan G, Vietnam Dipisahkan Dengan Perbezaan Gol

APA KOMEN ANDA?

Anda Mungkin Suka

© 2019 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group