Ketua jurulatih PSM Makassar, Bernardo Tavares nampaknya terus tidak berpuas hati dengan penganjuran saingan Piala AFC 2022 apabila beliau mempersoalkan Kuala Lumpur sekali lagi menjadi tuan rumah.

Seperti diketahui, Stadium Bolasepak Kuala Lumpur bakal menjadi medan pertembungan melibatkan KL City FC dan PSM Makassar pada aksi final Piala AFC Zon Asia Tenggara 2022, malam esok.

Sehubungan dengan itu, Tavares nyata berang dengan keadaan tersebut dan mempersoalkan mengapa perlawanan akhir tidak diadakan lokasi selain dari Kuala Lumpur.

Jurulatih PSM Makassar Berang Dengan Jadual, Anggap AFC Bantu KL City

“Kenapa sekarang mesti sekali lagi perlawanan diadakan di Malaysia, jika tidak diadakan di Indonesia mengapa ia tidak dijalankan di tempat lain?,” ujar Tavares bercakap dalam sidang media pra-perlawanan.

“Saya tiada masalah dengan Kuala Lumpur, saya juga sukakan Malaysia tetapi kami sentiasa bermain menentang Kuala Lumpur (merujuk KL City) di Kuala Lumpur. Ayuh, mari adakan perlawanan ini di tempat lain.”

“Jadi, mengapa kita tidak boleh bermain di tempat lain. Mengapa mesti di Kuala Lumpur, mengapa? Kerana tiada siapa yang menjelaskan tentang perkara ini kepada saya. Saya dan anak buah saya mahu mengetahui sebabnya.”

“Tetapi baiklah, kami datang ke sini untuk melakukan yang terbaik. Jurulatih pasukan lawan (Bojan Hodak) juga merupakan bekas pengendali PSM Makassar, dia mengetahui dengan sangat baik tentang pasukan ini.”

Piala AFC 2022: Kedah Tersingkir Selepas Tunduk Kepada PSM Makassar

“Mereka juga merupakan sebuah pasukan yang kuat. Ketika ini, mereka mempunyai seorang penyerang baharu yang tidak bermain bertemu kami pada perlawanan terdahulu apabila kami bertemu dengan mereka.”

“Perlawanan malam esok akan menjadi pertemuan 11 lawan 11 dan Kuala Lumpur menentang PSM Makassar,” tambah Bernardo Tavares lagi.

KL City layak ke perlawanan akhir selepas berjaya menundukkan wakil Vietnam, Viettel FC 6-5 menerusi penentuan sepakan penalti manakala PSM Makassar pula menewaskan Kedah Darul Aman FC 2-1 di Bali.

Sebelum ini, pengendali kelahiran Portugal itu mendakwa bahawa Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menyebelahi KL City FC berhubung jadual perlawanan kerana mengatakan pejabat badan induk bola sepak rantau Asia itu berada di Kuala Lumpur.