Pengendali PSM Makassar, Bernardo Tavares tanpa berselindung mengakui bahawa para pemain KL City FC bermain dengan lebih baik berbanding anak buahnya untuk muncul selaku juara Piala AFC Zon Asia Tenggara (ASEAN) 2022.

Tanpa memberikan sebarang alasan, beliau turut melihat anak buahnya banyak melakukan kesilapan sehingga kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh Paulo Josue dan rakan sepasukan untuk mendapatkan lima jaringan pada aksi yang berlangsung di Stadium KLFA, Cheras.

Dalam kehampaan gagal untuk mara dengan lebih jauh dalam saingan ini, Tavares tetap memuji persembahan yang ditampilkan barisan pemain PSM Makassar terutamanya ketika mereka memberikan tekanan dengan dua gol menarik dihasilkan.

Bernardo Tavares: Mengapa Sekali Lagi Kami Perlu Berhadapan KL City Di Kuala Lumpur?

Beliau turut berpendapat tanpa nama besar yang dibawa masuk ke dalam pasukannya pada musim ini, PSM Makassar masih mampu menghadirkan saingan sengit dalam kempen kali ini.

“Sebagai jurulatih, saya sememangnya berasa kecewa kerana saya juga mempunyai mimpi [impian] yang sama seperti para pemain [untuk memenangi perlawanan],” ujar Tavares menurut sumber Goal Indonesia.

“Sikap pemain saya sangat hebat ketika ketinggalan tiga gol. Kami mendapat peluang yang boleh mengubah kedudukan menjadi 3-3. Sayangnya, kami melakukan kesilapan yang menyebabkan hadirnya gol keempat, kemudiannya kelima [buat KL City].”

Bernardo Tavares mula membimbing PSM Makassar pada tahun ini. Kredit Foto: AFC Cup

“Saya berbangga dengan pemain saya. Pada musim ini, kami tidak membawa masuk pemain [tempatan] yang ternama dalam saingan Liga 1 dan mereka sudah membuktikan bahawa mereka mempunyai kualiti untuk bermain [di peringkat Piala AFC]. Tetapi, saya fikir kami seharusnya dapat bermain dengan lebih baik hari ini.”

“Kuala Lumpur bermain dengan lebih baik dan kami banyak melakukan kesilapan. Kuala Lumpur mendapat peluang dan mereka mampu menterjemahkannya kepada  jaringan.”

“Kadang-kadang kami melakukan kesilapan dan itu jarang-jarang berlaku. Tetapi inilah bola sepak. Ia seperti David datang dari sebuah desa untuk berlawan dengan Goliath,” tambah Bernardo Tavares lagi.

Kredit Featured Image: AFC Cup