Penantian Chelsea untuk mendapatkan pemain pertahanan kelahiran Perancis, Wesley Fofana telah berakhir selepas pemain berusia 21 tahun itu telah diumumkan sebagai pemain baharu The Blues.

Mengikat kontrak selama tujuh tahun, Fofana meninggalkan Leicester City untuk bersama Chelsea dengan yuran perpindahan bernilai £70 juta (tambahan £5 juta).

Wenger: Chelsea Kelab Pertama Berbelanja Wang Yang Bukan Pendapatan Mereka

Seperti yang digembar-gemburkan media di barat, Fofana merupakan antara bakat baharu memiliki pakej baik untuk bergelar pemain terbaik dunia satu masa nanti.

Keadaan itu turut diakui sendiri oleh legenda bola sepak England yang turut pernah beraksi bersama Leicester City iaitu Gary Lineker.

Menerusi ciapan selepas wartawan terkenal dunia, Fabrizio Romano mengesahkan Fofana bakal ke Chelsea, Lineker mengakui bahawa beliau kecewa melihat pemergian pemain muda tersebut.

Bagaimanapun, Lineker sedar impian bagi setiap pemain bola sepak adalah untuk beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah dan Fofana juga tidak terkecuali.

Sehubungan dengan itu, Lineker menegaskan Chelsea pada ketika ini sudah memiliki pemain pertahanan paling berbakat di dunia dan mengakui kemampuan hebat dimiliki Fofana.

Dalam perkembangan sama, Wesley Fofana menjelaskan kedatangannya ke Stamford Bridge adalah untuk memenangi kesemua piala buat Chelsea.

“Saya ke sini untuk memenangi trofi. Liga Juara-Juara Eropah, Liga Perdana Inggeris, Piala FA, Piala Carabao, segala-galanya. Saya datang untuk memenangi dan kelab ini dibina untuk memenangi trofi jadi saya ingin meneruskan tradisi ini.”

Kredit Featured Image: Chelsea FC

Sumber